Powered by Blogger.

Ku Bermohon KasihMu



 DemiMu
 Aku bermohon

 Berikanlah daku...
 Seribu kekuatan
 Sejuta kesabaran
 Selangit ketabahan

 Kerana ketika ini
 Aku amat merinduiMu
 Rindu nama agungMu
 Rindu kalimah suciMu
 Rindu ayat-ayat cintaMu

 Pimpinlah daku ke Sirotal MustaqimMu
 Bimbinglah daku ke syurga FirdausiMu
 Dalam doa kudusku
 Dalam zikir daku menyeruMu
 Dalam Tahajud daku mencariMu
 Dalam Munajat daku bisikkan padaMu
 Dalam sujud daku mendekatiMu

 Menanti detik-detik terakhir berlalu
 Ampunilah daku
 Sebelum aku hadir menemuiMu

Syukur Syawal



Sejak bila hati menangis
Mengenang maaf yang tak pernah tertulis.

Jiwa ini mampu bercerita
Seribu janji seribu nada
Ilham pembuka tinta berbicara
Syukur syawal empunya cereka.


Bergema laungan takbir Aidilfitri
Memecah sunyi alam dihuni
Sekian lama telah diuji
Kini kemenangan yang dirai.

Masih leka di senjakala
Masih alpa ketika bersenda
Kadangkala bergurau terusik jiwa
Maaf dipinta andai terasa.

Syukur syawal masih bernyawa
Mohon agar bertemu semula
Andai Ini terakhir bersua
Doa agar aman di sana.

Keampunan jiwa tulus setia
Kemaafan hati tanda ceria
Usah memohon terluka sahaja
Amalkan selalu supaya bahagia.

Lena diulit dendam durjana
Hapuskan dengan airmata gembira
Syukur syawal temukan kita
Kerana DIA Yang Maha ESA…

Diriku Hamba Senja



Dalam kelewatan ini
Aku menjelajah kesepian
Meneroka seribu makna yang membawa aku
Ke satu daerah kesunyian..


Meronta jiwa palsu
Menafikan rindu ini milik dia
Menyingkirkan cinta ini buat dia
Mengagung kasih pada hambanya
Melerai kelekaan cinta buat zaujah
Sehingga kulupakan anugerah itu milik Dia..

Mentari senja mengejut aku dari lamunan
Khabar usiaku bukan mainan
Kutoleh ke belakang
Ya Allah, aku tiada bekalan buat masa hadapan..

Adakah sinar buat aku lagi???
Adakah mentari pagi bakal bersua lagi???
Sesungguhnya rindu yang aku labuhkan
Bukan pada tempatnya..

Cinta yang aku persembahkan
Bukan pada miliknya
Hanya sendu aku milik Dia
Saat kesedihan kuratap padanya..

Ampunkan kejahilan diri ini
Anugerahkan aku mentari lagi
Agar esok aku mampu berdiri
Menyulam cinta sejati
Menyemai kasih abadi..

Jika esok tiada lagi buat hamba senja ini
Adakah hamba ini dalam payungan rahmat-Nya??
Mungkin juga belas dari Nya
Siapa tahu dia pemilik jiwa
Yang pasti malam ini milik hamba
Kesempatan ini aku menghamba jiwa
Melabuh cinta
Agar Dia menghapus dosa.

Aku Bukan Hamba Ramadan



Aku bukan hamba Ramadan,
kerna Ramadan cuma sebulan,
itu cuma satu kesempatan daripada Tuhan,
agar aku gandakan amalan,
agar aku tingkatkan kesabaran,
untuk menjadi hamba beriman.


Dalam tempoh sebulan,
al-Quran menjadi teman,
qiam pun jadi ringan,
jemaah subuh tak pernah lengang,
terawih di masjid jadi kebiasaan,
sentiasa cari peluang berbuat ihsan,
berusaha selalu menjaga pandangan,
lisan terjaga daripada perkara haram,
agar pahala tidaklah lompang,
kerna merebut barokah Ramadan.

30 hari berlalu sudah,
‘Aidil fitri disambut meriah,
solat pun makin lengah,
kadang terlewat sampai Subuh gajah,
baca Quran makin susah,
hati makin goyah,
kadang tersesat dengan dosa membuncah.

Ya Allah,
bantulah aku dalam mengingatiMu,
bersyukur padaMu,
dan perelokkan ibadahku,
aku tidak mahu jadi hamba Ramadan,
tapi jadi hambaMu Tuhan,
aku tidak mahu bertuhankan Ramadan,
tapi bertuhankan Engkau Ya Rahman,
ikhlaskan aku,
agar madrasah Ramadan sebulan ini,
mendidik aku menjadi hambaMu yang muttaqin,
bukan saja di bulan ini,
bahkan ke penghujung hayatku nanti.

Sejauh Mana?



Datangnya cuma setahun sekali
Masih adakah lagi ruang untuk menanti?
Pada tahun yang akan datang bersama waktu yang meniti?


Kita katakan kita sedih kerana ia akan pergi
Benarkah perasaan itu yang berada di hati?
Atau sekadar permainan kata dan mimpi?

Ketawalah, andai jiwamu tidak merasai apa-apa
Ketawalah, andai jiwamu merasakan datangnya ia tidak bermakna
Ketawalah, andai jiwamu tidak terkesan dengan pemergiannya
Kerana itu tanda hatimu lemah. Apatah lagi imanmu.

Menangislah, andai benar sedih dengan bakal pemergiannya
Menangislah, andai benar sayu dengan bakal ketiadaannya
Menangislah, andai benar sakit dengan bakal kehilangannya
Kerana itu tanda hatimu masih bernyawa. Juga imanmu.

Soal hatimu wahai peminjam nyawa dari Ilahi…
Sejauh mana sedihmu itu benar-benar takutkan ia berlalu?
Sejauh mana hatimu menanti kedatangannya sekali lagi?
Sejauh mana rindumu itu pada pemergiannya nanti?
Sejauh mana tangismu dengan pemergiannya ini?
Sejauh mana sebenarnya?
Sejauh hatimu tak rela melepaskan Rasulullah SAW yang dirindui atau ibu ayahmu yang disayangi?

Jika benar sejauh itu, Alhamdulillah
Jika tidak sejauh itu, Astaghfirullah
Bukan ingin memperkecilkan. Tidak sama sekali
Bukan merendahkan. Tidak sama sekali juga
Namun, ingin ajak untuk duduk muhasabah bersama.

Umat Rasulullah sekalian…
Subuh, Zohor, Asar, Maghrib, Isyak – Imarahkanlah masjid dengan berjemaah sepertimana tarawihmu.
Qiam. Tahajud. Taubat. Dhuha. Al-Quran. Al-Ma’thurat – Istiqamahkanlah ia sebagai makanan rohanimu.
Doa, doa, doa – Iringilah dengan hati yang redha serta taubat yang sungguh bersama tangisan terhadapNya.

Air matamu itu sangat bernilai di mata PenciptaMu.
Percayalah. Setitik demi setitik akan dihitungNya.
Percayalah. Rintihan demi rintihan akan didengarinya.
Percayalah. Doa demi doa akan dimakbulkannya.

Ramadhan ini telah mendidik nafsumu, jiwamu, hatimu.
Berhargakah ia bagimu?
Bersyukurkah kamu pada Pemberi kerana anugerah ini?
Ucaplah Alhamdulillah kerana Dia memberimu peluang merasai bulan mulia tahun ini
Juga tahun-tahun yang lalu.
Jadilah hambaNya yang bersyukur.

Bulan mulia ini telah pergi…
Berharaplah untuk bertemunya lagi.
Berharaplah ia bukan yang terakhir dalam hidup.
Atau jika ya, redhailah.
Jika tidak, syukurlah.
Semoga kita semua tergolong dalam hamba yang bertaqwa.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّى

“Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Maha Mulia. Engkau suka pada kemaafan. Maka, maafkanlah kami.”

Mata Lalat Dan Mata Lebah



“Janganlah jadi seperti lalat yang hanya nampak benda-benda busuk dan kotor sahaja, tapi jadilah seperti lebah yang selalu nampak benda-benda cantik dan wangi.” – Ustaz Kazim Elias

Lalat merayau-rayau mencari sesuatu untuk disantap, tidak kira apa yang terdedah di situlah lalat datang bertandang. Najis, makanan basi, mahupun ikan busuk semuanya lalat hinggap. Apa yang penting dapat makanan.

Lebah merayau-rayau di sebalik pepohonan mencari bunga-bunga segar yang kembang segar di waktu pagi.

“Cantik sungguh bunga matahari, bunga ros dan macam-macam bunga lagi yang dihinggapnya. Ah, mencari madu rupanya.”

Sudahlah hinggap di tempat yang cantik, dapat manisan pula. Indahnya kehidupan si lebah.


Pernahkah kita fikir kenapa Allah ciptakan kedua-dua makhluk ini?

Keduanya mempunyai ciri-ciri tersendiri yang boleh dianggap unik. Jika mata kita diumpamakan seperti mata lalat dan mata lebah, maka yang mana satu jadi pilihan sahabat sekalian?

Pastinya lebah, bukan?

Orang yang tidak baik dan berhati busuk, matanya samalah seperti mata lalat. Sentiasa mencari benda-benda yang buruk, negatif dan tidak sedap dipandang mata. Ada saja yang tak kena pada pandangannya.

Manakala orang yang baik dan optimis, pastinya umpama lebah. Sentiasa mencari kebaikan dalam hidupnya. Walaupun sesuatu perkara tidak baik yang jelas pada pandangan matanya namun pastinya ia akan tetap jadi baik dengan sifat khusnuzon yang ada padanya. Pendek kata semua perkara nampak baik dan indah.


Mari jadikan mata zahir dan mata hati kita seperti lebah yang melihat semua benda yang baik-baik sahaja. Semua akan nampak baik jika kita khusnuzon (bersangka baik). Setiap kejadian yang baik mahu pun buruk ada sebabnya yang tersendiri.

Salam Ramadhan mubarak. Semoga apa yang kita lalui pada Ramadhan kali ini adalah suatu yang lebih baik dan menjadi yang terbaik yang pernah kita lalui.

Yang baik datang dari Allah s.w.t dan yang buruk semestinya datang dari kekhilafan kita sendiri.

Followers

Facebook Twitter RSS