Ilmu Usuluddin
Posted by
Quezee
Monday, July 8, 2013 at 6:51 PM
4
comments
DI DALAM ajaran Islam, secara umum ilmu-ilmu yang penting itu boleh dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:
1. Usuluddin (aqidah)
2. Feqah (syariat)
3. Tasawuf (akhlak)
Dalam pengamalannya, setiap orang Islam mestilah melaksanakan secara serentak ketiga-tiga ilmu tadi. Sama ada dari segi teori mahupun praktikal, atau dari segi ilmiah dan amaliahnya.
Tiga ilmu ini merupakan tiga serangkai yang tidak boleh dipisah-pisahkan. Kalau dipisah-pisahkan salah satu daripada tiga serangkai itu, maka akibatnya rosaklah yang lainnya. Ertinya amalan Islam itu menjadi sah apabila ketiga-tiga ilmu tersebut dilaksanakan sekaligus dan serentak. Ia tidak boleh diamalkan satu-satu sahaja tanpa yang lain. Ber‘feqah’ saja atau ber‘usuluddin’ saja atau berakhlak saja, tentu akan merosakkan keIslaman seseorang.
Jadi tiga serangkai ilmu ini tidak boleh dipisah-pisahkan dalam seluruh tindakan hidup. Kalau dipisahkan dalam pengamalan seharian, paling tidak seseorang itu akan jadi orang fasiq. Bahkan berkemungkinan ia akan jatuh kepada kafir tanpa ia sedar.
Dari ketiga-tiga ilmu ini, tapak atau asasnya adalah ilmu usuluddin. Di atas tapak ilmu yang menjadi pegangan dan keyakinan setiap orang Islam itu, maka ditegakkan syariat (feqah) dan akhlak (tasawuf).
Kalau diibaratkan kepada sebuah bangunan, usuluddin itu foundationnya. Bangunan rumah serta peralatan- adalah peralatannya itulah syariat dan akhlak. Kalau begitu rumah dan peralatan rumah itu tidak dapat ditegakkan kalau foundation rumah tersebut tidak ada. Atau sekiranya ‘ia tidak kukuh dan tidak kuat.
Justeru itu, dalam ajaran Islam:
1. Usuluddin itu adalah asas Islam atau tapak Islam.
2. Syariat dan tasawuf ialah furu’ dan cabang- cabangnya.
Kalau begitu, ilmu usuluddin dalam ajaran Islam amat penting dan utama. Kerana ia mengesahkan syariat dan akhlak. Syariat dan akhlak tidak ada nilai di sisi ALLAH, kalau aqidah atau usuluddinnya telah rosak.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan ilmu usuluddin ialah:
1. Keyakinan kita dengan ALLAH dan sifat-sifatNya sama ada sifat-sifat yang wajib, sifat-sifat yang mustahil atau sifat-sifat yang harus.
2. Keyakinan kita dengan para rasul dan sifat-sifatnya.
3. Keyakinan dengan kitab-kitab yang pernah diturunkan oleh ALLAH seperti Al Quran, Zabur,Injil dan Taurat.
4. Keyakinan kepada para malaikat.
5. Keyakinan pada Qadha dan Qadar ALLAH.
6. Yakin kepada Syurga dan Neraka serta perkaraperkara lain yang merangkumi perkara di Alam Ghaib.
Maka ilmu usuluddin yang menjadi asas kepada ajaran Islam merupakan ilmu yang paling penting. Ia menjadi perkara utama dan pertama untuk setiap individu Islam yang mukallaf mempelajarinya. Belajar ilmu usuluddin ini hukumnya fardhu ain yakni wajib bagi setiap individu yang mukallaf. Bahkan jatuh berdosa besar bagi orang yang tidak mempelajarinya. Hatta boleh jatuh kufur secara tidak sedar kalau jahil tentang ilmu ini.
Ilmu usuluddin yang berkait dengan ALLAH dan sifat-sifat-Nya, kalau tidak dipelajari, paling mudah untuk menyebabkan terjatuh kepada kufur. Sebab itu bagi setiap mukallaf mempelajarinya dihukumkan wajib terlebih dahulu mendahului ilmu-ilmu yang lain.
Dalam Hadis, Rasulullah SAW ada menyebut:Terjemahannya:
Awal-awal agama ialuh mengenal ALLAH.
Oleh itu ilmu usuluddin itu tidak boleh dicuaikan dari mempelajarinya. Supaya ia dapat dijadikan pegangan dan keyakinan yang mantap (teguh) di hati. Tanpa dicelahi dengan unsur-unsur jahil, syak, zan dan waham. Sekiranya dicelahi oleh jahil, syak, zan dan waham, atau salah satu darinya, maka seluruh amal ibadah itu tidak sah atau tertolak. Ertinya tidak dapat apa-apa di sisi ALLAH. Amalan itu hanya sia-sia sahaja. Walau bagaimana baik dan kemas sekalipun ibadah yang dipersembahkan pada ALLAH, sekiranya dicelahi oleh salah satu daripadanya, maka ibadah itu akan dicampak semula ke muka pengamalnya.
Mengikut kebiasaan, walaupun cantik amalan syariat atau akhlak, ia masih tetap bergantung kepada aqidah. Sekiranya aqidahnya baik, maka baiklah syariat dan akhlaknya. Tetapi kalau aqidahnya rosak, maka rosaklah syariat dan akhlaknya.
Tamsilannya seperti sebatang pokok. Kalau pokok-nya subur, itu adalah kesan daripada akar tunjang yang kuat tadi. Yang menjadikan ianya berdaun, menghijau, menghasilkan bunga cantik dan harum mewangi serta buah yang banyak (lebat) lagi sedap rasanya. Sehingga menjadikan kepingin semua makhluk terutama manusia untuk mendekati dan bernaun’g di bawahnya serta mengambil manfaat darinya.
Begitulah juga bagi mereka yang aqidahnya baik, tentunya syariatnya jadi sempurna dan akhlaknya cantik. Semua hukum-hakam yang lima yakni yang wajib dan sunat dapat ditegakkan, yang haram dan makruh dapat dijauhi, dan yang harus (mubah) terpulang hingga ia mencorak hidup individu dan masyarakat.
Di sinilah pentingnya pelajaran aqidah atau usuluddin ini kerana ia boleh mencorakkan hati seseorang.Sehingga yang lahir dalam tindakan adalah gambaran hatinya itu.
Alhasil, kalau sudah ramai yang aqidahnya tepat dan kuat, maka akan lahirlah negara yang aman makmur yang mendapat keampunan ALLAH. Kerana aqidah yang tepat dan kuat itu mendorong hamba-hamba-Nya bersyariat dan berakhlak atau menjadi orang yang
bertaqwa.
Mari kita mengenal Tuhan
Mari kita mengenal Tuhan
Tuhan kita ialah Allah,
Nama-Nya yang paling agung yang dikatakan Lafzul Jalalah
Dia adalah zat yang Maha Suci lagi Maha Tinggi
Suci daripada sebarang penyerupaan dengan makhluk-Nya di dalam semua hal
Kerana itulah Dia tidak dapat hendak dibayangkan,
Kalau dibayangkan satu pendustaan yang maha besar
Wujud-Nya sediakala, tidak ada permulaan, tidak ada kesudahan
Kerana Dia bukan jenis ciptaan, bahkan Pencipta seluruh alam
Menjadi Pentadbir, Pendidik dan Penyelamat
Takkan Pencipta dengan yang dicipta ada persamaannya
Zat-Nya Maha Esa, satu atau tunggal
Tapi Esa-Nya tidak boleh dibelah bagi
Yang boleh dibelah bagi itu adalah benda atau barang ciptaan,
atau sesuatu yang kena cipta atau diwujudkan
Maha Suci dan Maha Tinggi Tuhan daripada perlu kepada tempat,
tidak mengambil ruang
Tidak ada di dalam pihak, atau di luar pihak,
kerana di luar pihak juga adalah pihak
Tidak terlibat dengan masa
Tidak terlibat dengan malam dan siang
Tidak terlibat dengan musim yang empat
Kerana semuanya itu adalah makhluk dan ciptaan-Nya
Tuhan tidak berhajat kepada ciptaan-Nya
Tapi makhluk-Nya berhajat kepada Tuhan
Kudrat-Nya adalah mutlak dan tidak terbatas
Kerana kudrat-Nya bukan dari tenaga,
Ia dari zat-Nya yang Maha Kuasa dan Maha Daya dan Upaya
Iradah-Nya atau kehendak-Nya bukan daripada dorongan nafsu-Nya
Tuhan tidak ada nafsu seperti haiwan dan manusia
Setiap yang terjadi dan yang akan terjadi kemudian adalah dengan kehendak-Nya
Ciptaannya kecil dan besar sama sahaja,
Dia kata 'Jadi', jadilah benda itu
Dia mentadbir, mengawal dan menjaga bukan hasil berfikir-fikir dan meneliti
Kerana berfikir dan meneliti adalah dari akal
Dia memang sudah sedia tahu dan bijaksana
Tuhan tidak ada akal seperti malaikat dan manusia
Setiap yang dicipta-Nya tidak ada yang sia-sia
Sekalipun debu yang halus ada hikmahnya
Sama ada kita dapat fikirkan mahupun yang tersembunyi hikmahnya
Ilmu-Nya maha luas tidak terbatas dan tidak berkesudahan
Mengetahui yang ada dahulu, yang sedang ada mahupun yang akan ada,
Sekalipun yang tiada Tuhan tahu
Tidak ada sebesar habuk pun yang dilupakan
Hidup-Nya tidak ada berkesudahan, kerana Dia hidup bukan dengan nyawa
Dan tidak ada yang menamatkan kerana Dia adalah Tuhan, tiada Tuhan selain-Nya
Ertinya tiada siapa yang berkuasa ke atas zat-Nya yang hendak mematikan
Dia mendengar bukan dengan telinga,
Tapi daripada zat-Nya yang bersifat mendengar
Dia melihat tapi bukan dengan mata,
tapi daripada zat-Nya yang bersifat melihat
Sifat mendengar dan melihat-Nya Esa tidak berperingkat-peringkat
Jauh dan dekat sama sahaja
Tuhan bercakap atau mempunyai bahasa yang tersendiri
Yang tiada siapa yang mengetahui sekalipun para malaikat
Bahasa-Nya tiada yang dahulu dan tiada yang kemudian,
tiada berlafaz dan tiada berhuruf, tiada perkataan
Tiada bunyi dan suara, tiada koma dan full-stop
Tiada permulaan dan tiada berkesudahan
Tiada tanda tanya dan tiada tanda seruan
Al Quran adalah bahasa malaikat dan bahasa rasul
maksud dan mafhum daripada bahasa Tuhan
Jadi bahasa juga tidak ada penyerupaan
Maha Suci Tuhan
Dia menghukum dengan keadilan-Nya,
Memberi nikmat dengan rahmat-Nya
Kasih sayang kepada hamba-hamba-Nya mengatasi segala sifat-sifat-Nya yang lain
Nikmat dan rahmat-Nya terus mengalir tidak pernah berhenti-henti
sekalipun sedetik atau sekelip mata
Kerana itulah nikmat-Nya tidak mampu untuk dihitung
Nikmat nafas turun naik pun kita tidak dapat mengiranya
Betapalah nikmat-nikmat yang lain lagilah terlalu banyaknya
Dia adalah Pemberi rezeki, Pentadbir, Penjaga, Penyelamat, Pengawal,
Dan menentukan segala nasib makhluk-makhluk-Nya
Kalau satu detik pun kita terlepas daripada Tuhan pasti binasa.
Aduh siapa Tuhan?!
Dia adalah Maha Besar, Maha Agung, Maha Berkuasa, Maha Perkasa
Maha Gagah, Maha Hebat, Maha Pengasih
Kasih-Nya kepada hamba-hamba-Nya
lebih kasih daripada seorang ibu kepada anak-anaknya
Patut kita jatuh hati kepada-Nya
Bahkan cinta kepada-Nya
Patut kita membesarkan, memuja, mengagungkan,
menyanjung dan menyembah dan menakuti-Nya
Dia adalah idola daripada segala idola yang ada di dunia
Kita sangat perlu kepada Tuhan
Kerana itulah kita mesti memperjuangkannya
Hingga seluruh manusia mengenal-Nya dan mencintai-Nya dan menyembah-Nya.
4 comments:
- Unknown on November 18, 2015 at 2:49 AM said...
-
assalamualaikum...izinkan sy share isi kadungan blog ini...terima kasih.
- Famy on November 20, 2017 at 8:08 PM said...
-
Assalamualaikum.ada kemusykilan, Mohon diperjelaskan dengan lebih lanjut berserta dalil tentang bahasa al-qur'an adalah hanya bahasa malaikat dan rasul-Nya mahfum dari bahasa Allah sendiri? Kurang faham..selain dari itu, semuanya amat jelas, terima kasih. Assalamualaikum
- Suffian on March 21, 2018 at 12:05 PM said...
-
Izin kan sy share kandungan cebisan hati ini
- Suffian on March 21, 2018 at 12:05 PM said...
-
Izin kan sy share kandungan cebisan hati ini
Subscribe to:
Post Comments (Atom)