Mengapa Berat Menunaikan Sembahyang
Posted by
Quezee
Monday, July 8, 2013 at 6:54 PM
0
comments
Rata-rata umat Islam mengetahui bahawa sembahyang atau solat lima waktu itu hukumnya wajib. Yakni, |kalau dibuat, dapat pahala dan kalau ditinggalkan berdosa. Berdosa itu pula akan dihukum dengan seksa Neraka.
Semua umat Islam rasanya sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api yang membakar sampai ke hati. Minumannya ialah leburan logam yang menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat untuk kembali.
Rata-rata juga umat Islam tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa yang meruntuhkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah sembahyang. Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia telah kufur.
Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat. Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain tertolak.
Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima waktu. Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari kalangan orang-orang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki, tetapi ramai juga perempuan yang cuai bersembahyang.
Menjadi kafir kerana tidak bersembahyang tidak dirasakan sebagai suatu ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang juga tidak dirasakan besar. Malahan, ancaman seksa Neraka yang begitu perit, hebat dan dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun dan takut. Apakah puncanya umat Islam jadi begini?
Kalau ditanya pendapat orang, maka akan timbullah berbagai-bagai sebab dan alasan. Lemah imanlah. Kurang ilmu agamalah. Tidak ada asas agamalah. Kurang didikan agamalah. Kerana pengaruh liar seperti rock, black metal, dadah dan sebagainya. Kerana ibu ayah sibuk mengejar dunia dan tidak mengambil berat serta tidak ada masa untuk anak-anak. Kerana tidak ada kasih-sayang dari ibu bapa dan keluarga. Kerana sibuk dengan urusan, kerja, tugas, perniagaan dan bermacam-macam lagi alasan.
Mungkin alasan-alasan ini boleh diterima tetapi ia lebih merupakan alasan-alasan sampingan. Ada sebab dan alasan yang lebih pokok dari itu iaitu rata-rata umat Islam sudah tidak kenal Tuhan. Umat Islam berat menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan tidak takut dengan Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada, maka tidak wujud hubungan hati dengan Tuhan.
Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah di sisi Tuhan. Walhal hati itu adalah wakil Tuhan pada diri kita, tempat kita berzikir dan berhubung rasa dengan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, kalau hati tidak terhubung dengan Tuhan, kita tidak akan khusyuk dengan Tuhan.
Itulah sebabnya konsep pendidikan Islam bermula dari apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: Maksudnya:
" Awal-awal agama mengenal Allah. "
Setelah Allah dikenali, dicintai dan ditakuti, maka kita akan suka mengamalkan syariat. Kita akan suka bersembahyang. Kita akan suka membuat perkara yang Tuhan suka. Kita akan suka menggembirakan Tuhan. Kita akan khusyuk dengan Tuhan. Akan timbullah keinginan untuk menyembah dan membesarkan-Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Barulah datang keinginan untuk bersembahyang kerana sembahyang itu ialah upacara untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Kalau Tuhan tidak dirasakan besar dan agung maka kita tidak akan terdorong untuk bersembahyang. Sembahyang tidak akan ada apa-apa makna.
Yang menjadi masalah, umat Islam sudah tidak dididik engikut konsep pendidikan Islam ini lagi. Mereka idak dikenalkan kepada Tuhan terlebih dahulu. Mereka dikenalkan kepada dunia dan apabila sudah tua atau dewasa, barulah hendak berusaha untuk mengenal Tuhan. tu pun hanya bagi orang yang sedar dan yang mendapat idayah.
Kalau setiap anak dididik dari kecil untuk mengenal Tuhan, maka semua akan jadi mudah. Dari kecil lagi anak-anak sudah kenal, cinta dan takut dengan Tuhan. Dari kecil lagi mereka sudah merasa khusyuk dengan Tuhan. Orang yang khusyuk dengan Tuhan akan mudah bersembahyang. Tuhan ada berfirman:
Maksudnya:
"Jadikanlah sabar dan solat itu sebagai penolongmu. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. " (Al-Baqarah: Ayat 45)
Kalau sudah tua dan dewasa baru hendak mengenal Tuhan, ia seperti anak angkat yang sudah tua mahu diperkenalkan oleh ibu angkatnya kepada ibu kandungnya sendiri. Memang dia akan menerima hakikat bahawa ibu kandungnya itu memang benar ibu kandungnya. Lebih-lebih lagi kalau disahkan dan diakui pula oleh ibu angkatnya. Tetapi untuk hidup dengan ibu kandungnya atau untuk berpindah dari rumah ibu angkat untuk tinggal bersama-sama ibu kandungnya, itu amat rumit sekali. Dia tidak akan mahu. Cintanya telah tertumpah kepada ibu angkatnya kerana ibu angkatnyalah yang telah banyak mencurahkan kasih sayang padanya.
Begitu jugalah orang yang telah meninggalkan Tuhannya untuk bermewah di dunia. Dunia seperti ibu angkatnya. Memang sukar untuk kembali kepada Tuhan yang menciptanya.
Tidak hairanlah mengapa umat Islam tidak terdorong untuk bersembahyang. Umat Islam tidak teringin untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Untuk memuliakan, meninggikan dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Mereka mungkin tahu dan percaya adanya Tuhan tetapi mereka tidak merasakan bahawa Tuhan itu benar-benar wujud. Mereka juga tidak merasakan yang diri mereka itu hamba kepada Tuhan. Inilah bahananya kalau Tuhan tidak dikenali.
Setakat tahu dan percaya sahaja tidak cukup untuk menjadi aqidah dan pegangan. la tidak cukup untuk mendorong seseorang itu bertindak dan beramal. Ia tidak boleh menimbulkan sesuatu komitmen atau azam yang kuat.
Tahu dan percaya Tuhan itu adalah dengan akal. Tetapi mengenal Tuhan itu adalah dengan hati. Orang yang tahu dan ada ilmu tentang Tuhan dikatakan orang yang 'Aalimbillah. Orang yang kenal Tuhan itu dikatakan orang yang 'Aarifbillah. Orang yang kenal Tuhan atau orang 'Aarifbillah itu, mereka kenal Tuhan dengan hati. Mereka ada rasa-rasa bertuhan dalam hati mereka. Mereka juga ada rasa-rasa kehambaan. Mereka itu orang-orang yang khusyuk. Orang yang setakat A'alimbillah tidak ada rasa apa-apa.
Mari kita lihat bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat. Selama 13 tahun di Makkah, Rasulullah tidak mengajar para sahabat selain dari mengenal Tuhan. Tidak ada hukum-hakam lain yang diajar. Sembahyang pun belum diwajibkan. Rasulullah mengajar para sahabat tentang Tuhan sehingga mereka benar-benar kenal, cinta, takut dan sangat-sangat rindu dengan Tuhan. Mereka seperti orang lapar yang tidak dapat makan. Mereka seperti orang dahaga yang tidak dapat minum. Rindu mereka meluap-luap terhadap Tuhan. Mereka mabuk cinta dan mabuk rindu dengan Tuhan.
Hanya pada tahun yang kesebelas baru berlaku peristiwa Israk Mikraj. Ketika itu baru diturunkan perintah sembahyang. Apabila para sahabat mendapat perintah sembahyang, ia ibarat pucuk dicita ulam mendatang. La ibarat orang dahaga diberikan air. Ibarat orang lapar diberikan roti. Dalam sembahyanglah para sahabat melepaskan rindu-dendam mereka pada Tuhan. Mereka berdailog, mengadu, memuja dan memuji Tuhan. Dalam sembahyanglah mereka bermanja-manja dengan Tuhan.
Sembahyang adalah satu hadiah yang paling besar dan berharga bagi para sahabat. Satu perkara yang ditunggu-tunggu dan diidam-idamkan. Dengan sembahyanglah dapat mereka meluahkan segala perasaan dan isi hati mereka kepada Tuhan yang mereka tanggung selama ini. Sembahyang bagi mereka adalah satu nikmat yang tidak terhingga nilainya. Sebab itu kita lihat, sahabat yang paling malas pun, sembahyang mereka seratus rakaat sehari semalam.
Para sahabat mencintai sembahyang kerana sebelum datang perintah sembahyang pun, mereka sudah kenal, cinta, rindu dan takut dengan Tuhan. Inilah yang tidak ada pada kita. Kita tidak kenal, jauh sekali cinta, rindu dan takut dengan Tuhan. Sebab itulah sembahyang tidak menjadi buah hati kita. Sebab itulah kita tidak terdorong untuk bersembahyang. Sebab itulah sembahyang kita tidak manis dan kita tidak mendapat kepuasan dalam sembahyang. Sembahyang bagi kita adalah sesuatu yang sangat payah dan berat. Sangat meletih dan menjemukan. Bagi para sahabat, bertemu Tuhan macam hendak bertemu kekasih. Tidak sabar-sabar ingin bertemu. Bagi kita, bertemu Tuhan macam hendak bertemu orang yang kita tidak kenal. Kalau tak jadi bertemu pun tak rasa rugi apa-apa.
Seperkara lagi mengapa kita merasa berat untuk bersembahyang ialah kerana kita tidak tahu dan tidak faham sebab dan hikmah mengapa Tuhan mewajibkan kita bersembahyang. Kita tahu, kalau semua manusia bersembahyang pun, Tuhan tidak untung apa-apa. Kalau semua manusia tidak mahu bersembah-yang pun, Tuhan tidak rugi apa-apa. Tidak akan bertambah atau berkurang kemuliaan Tuhan. Sifat Tuhan itu sudah sedia sempurna. Tetapi kenapa Tuhan mewajibkan juga kita bersembahyang.
Kita diperintah bersembahyang kerana dengan sembahyang-lah dapat kita melahirkan rasa-rasa kehambaan di hati kita. Rasa-rasa kehambaan ialah rasa hina, berdosa, bersalah dengan Tuhan, rasa kerdil, lemah, cemas, gementar, takut, bimbang, rasa malu, rendah diri, berharap dan sebagainya. Rasa-rasa kehambaan inilah yang dapat membantu kita menjadi orang yang baik. Rasa-rasa kehambaan ini boleh memusnah dan membakar sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji yang bersarang di hati kita seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah, bakhil, ujub, jahat sangka, berdendam, memfitnah, mengumpat, adu domba, menghina dan lain-lain lagi. Kalau rasa-rasa kehambaan tidak ada di dalam hati, maka hati kita akan dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah seperti yang disebut di atas.
Sifat-sifat mazmumah ini sangat merosakkan. la racun dalam kehidupan manusia dan masyarakat. Apabila hati-hati manusia dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah, manusia akan berkrisis, bergaduh, bertengkar, jatuh-menjatuh, bunuh-membunuh dan berperangan sesama sendiri.
Sebenarnya yang bergaduh dan berkelahi di antara manusia itu bukan manusia itu sendiri. Bukan lidahnya, bukan tangannya, bukan kakinya tetapi sifat mazmumah yang bersarang di hatinya. Sifat sombong seseorang itu berlawan dengan sifat dengki orang lain. Sifat panas baran seseorang itu bertengkar dengan sifat keras hati orang lain. Sifat bakhil seseorang itu berlawan dengan sifat tamak haloba orang lain dan seterusnya. Sifat mazmumah yang bersarang di hati manusialah punca manusia bergaduh. Lidah, tangan, kaki hanya mengikut sahaja.
Kalau hati-hati manusia dipenuhi dengan segala sifat mazmumah, maka rosaklah kehidupan manusia. Binasalah dunia. Hilang kasih sayang. Roboh perpaduan. Hilang kebahagiaan dan keharmonian. Terseksalah hidup manusia.
Sembahyanglah yang dapat membuatkan manusia menjadi baik ialah sembahyang yang dapat melahirkan rasa-rasa kehambaan. Rasa-rasa kehambaan inilah yang akan melenyapkan sifat-sifat mazmumah dari hati kita. Kalau kita rasa hina, lemah dan kerdil di hadapan Tuhan, masakan pada waktu yang sama kita akan merasa sombong dan angkuh dengan orang lain. Kalau kita merasa bersalah dan berdosa dengan Tuhan, masakan kita akan nampak salah dan dosa orang lain.
Rasa-rasa kehambaan ini secara otomatis akan melahirkan pula rasa-rasa bertuhan. Iaitu rasa-rasa bahawa Tuhan itu Maha Hebat, Maha Agung, Maha Perkasa, Maha Kaya dan sebagainya. Rasa-rasa bertuhan ini akan menyubur dan menajamkan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat terpuji di hati kita. Akan tumbuh dan segarlah sifat-sifat pemurah, pemaaf, tolong-menolong, bantu-membantu, bertolak-ansur, bertimbang-rasa, berkasih sayang, bertoleransi, mesra, lemah lembut, lapang dada, suka mendahulukan orang lain dan sebagainya di hati kita.
Inilah di antara sebab mengapa Tuhan menyuruh kita bersembahyang. Supaya manusia dapat hidup dengan aman, damai dan harmoni.
Bila sifat-sifat mazmumah bersarang di hati kita, kita akan berwatak dengan watak syaitan. Tetapi bila sifat-sifat mahmudah menghiasi hati kita, maka terbinalah insan kita. Kita akan berwatak dengan watak malaikat.
Hidup manusia di muka bumi akan menjadi tenang, aman dan damai dan penuh dengan kasih sayang dan harmoni. Hidup di dunia akan menjadi begitu indah dan bahagia. Itulah bayangan keindahan hidup di Syurga Jannatun Naim, hasil dari kita mendirikan sembahyang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)