Powered by Blogger.

Senja Berlabuh di Hening Ramadhan



Tika…
Sang suria di ufuk timur,
Memancarkan kemilaunya di dada langit,
Dan sang camar berkicauan menyanyikan lagu rindu,
Ombak pula menderu di pesisiran pantai,
Suara alam bagaikan menyatu,
Menyambut Ramadhan dengan keinsafan.

Dan…
Insan dengan pelbagai ragamnya,
Terkadang terleka dengan permainan dunia.


Sesungguhnya…
Tiada yang sempurna di dunia yang fana ini,
Selain sang Pencipta yang Maha Esa,
Selagi manusia bergelar manusia,
Pasti di sana ada khilafnya.

Maka…
Tatkala tabir Ramadhan disingkap,
Gema alam bagaikan berbisik,
Kembalilah kepada fitrahmu yang sejati,
Alunkan taubat kepada Ilahi,
Meskipun zahir tidak terucap,
Namun nurani pasti merintih,
Merindui saat pertemuan yang dijanjikan,
Di hari yang kekal abadi.

Kerana…
Tiada sesiapa yang mampu menongkat dunia,
Dan langit pasti akan rebah jua.

Andai…
Harum Ramadhan ini yang terakhir untuk dikecapi,
Detik yang berbaki hanya tinggal di hujung jemari,
Waktu yang berlari semakin jauh untuk dikejar,
Patah sayapnya di kaki malam,
Dek manisnya godaan dunia.

Justeru…
Renungkanlah kekhilafan diri,
Saat senja berlabuh di hening Ramadhan.

Pintu Dermawan



Alangkah bertuahnya rumah yang mempunyai pintu
Yang sentiasa terbuka
Memberi yang termampu
Menerima yang perlu
Pemilik dan penghuninya adalah satu
Hamba yang bermohon dan bersyukur
Dengan rezeki yang diilhamkan
Dijadikan pedoman kepada sekalian

Pintu itu sentiasa terbuka
Bagi mereka yang meminta
Ketahuilah apabila pintu itu terbuka
Ada sesuatu menantimu
Dengan senyum dan tawa
Dengan tangan yang terbuka
Dengan seluruh jiwa raga
Pintu itu membawamu ke lautan yang pemurah
Ia memberi tanpa meminta
Ia sentiasa mengalirkan pahala
Bagi bekalan dan jaminan yang sempurna
Untuk hari yang tiada jaminan buat semua

Akan aku kunjungi pintu itu
Bukannya aku merana dan meminta
Bukan juga aku mahu berpura
Namun aku mahu bertanya
Apakah rahsia si pemurah itu
Yang memberi dengan sepenuh hati
Walau pintu itu hanya sederhana
Namun pemberian itu amat berharga...

Followers

Facebook Twitter RSS