Munafikkah
aku dimatamu? Sehinggakan aku tetap aku, tidak pernah berubah. Aku
menyatakan aku bisa berbuat pelbagai rencah dan ramuan dalam kehidupan.
Tetapi aku sering gagal dalam menterjemahkannya dalam hidup. Alangkah
ruginya aku, biasa hanya mampu berbicara tanpa mampu berbuat sesuatu
bagi mentafsir bicara. Ya, Allah alangkah ruginya aku.
Aku lemah dan hina. Sehinggakan terhadap satu surah dalam Al-Quran yang
sentiasa mengecam aku dalam tingkah dan perbuatan. Terasa bagai betul
semua katamu. Aku berkata-kata sesuatu yang dusta dan salah. Seringkali
bercanggah antara keduanya. Ya, Allah betapa aku berdusta dan engkau
maha mengetahuinya.
Banyaknya
kelemahan yang aku ada. Pandai bersilat kata namun rebah dalam
permainan perasaan dan ujian kehidupan. Setiap kali surah itu kubaca
terasa aku betul-betul selari dengan apa yang dimaksudkan. Betul aku
hanya tin kosong yang kuat berbunyi, tetapi isinya kosong. Tidak ada
manfaat untukmu. Logiknya, mana mungkin orang yang tidak mempunyai
sesuatu boleh memberikan sesuatu. Ya Allah, tolong aku dalam mengikis
sifat buruk ini.
Dikala sunyi dibalik kesibukan. Terimalah persembahkan tulisan orang yang terasa dirinya munafik ini, “Munafikkah aku dimatamu?”
Berkali-kali
kita diuji dalam kehidupan. Kata-kata seolah tidak selari dengan apa
yang kita perjuangkan. Hanya berkata-kata tetapi tidak mampu untuk
berbuat sepertimana yang kita ucapkan. Surah Al-Manafiqun itu hanya kita
hafal dan baca namun, intipati sebenar tidak kita selami dengan baik.
Sering menang dalam bicara namun kalah dalam arena pembuktian. Murka
Allah sering kita tempah, alangkah celakanya kita. Ya, lebih-lebih lagi
aku.
Dan
apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan
mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga
(tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah
sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang
kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan
yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam
keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah
yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah
musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka.
Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik
sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari
kebenaran)?
Adakah
kita (lebih-lebih lagi aku) adalah kayu buruk yang dimaksudkan?. Ada
umpama tiada. Hawa nafsu menjadi sandaran utama. Seolah-olah bertuhankan
nafsu. Tidak sedar apa tujuan hidup ini. Masih lagi tidak sedar bahawa
Allah selalu mengutuskan orang-orang baik dalam menasihati kita dalam
kehidupan. Namun masih lagi kita gagal dalam menterjamah perbuatan
seiring perkataan. Adakah aku menunggu bala Allah sampai hingga
menerobos ke ruang dalam dalam kehidupan?
Lembut yang tidak semestinya lembut
Alangkah
ruginya kita (lebih-lebih lagi aku) bila hati keras dalam menerima
tarbiah dan didikan. Kita sering hendakkan kebaikan dalam hidup, tapi
sayang kita tidak menuju kepadanya. Kita sering menyatakan ingin
lembutkan hati dalam melonjak perubahan dengan adanya mereka yang baik
disisi. Namun yang terjadi adalah sebaliknya. Hati kita keras untuk itu.
Kita
berpura-pura baik didepan orang ramai. Namun, sebenarnya kita mampu
menilai siapakah kita dihadapan Allah s.w.t yang Maha Agung. Pakaian
kita, tutur kata, dan perlakuan yang kita agungkan dengannya membuatkan
kita sering lupa. Kita semua tahu sejarah silam kita, dulu kita
bagaimana, sekarang pula kita bagaimana. Tidakkah kita memerhatikan
Allah telah memberikan nikmat kepada kita dalam bentuk yang pelbagai.
Kelembutan juga kekerasan. Semuanya tarbiah daripadanya. Apakah kita
tidak memerhatikannya?
(2) Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
(3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.
Dimana Allah Dihati Kita?
Dimana
Allah dalam setiap tingkah dan laku dalam penghidupan? Kehidupan tanpa
penghidupan adalah kekakuan dan kepayahan. Tanya pada diri samada kita
membina kehidupan atau penghidupan. Tidak cukup dengan hanya kehidupan
yang baik, tetapi kita memerlukan penghidupan yang mulia. Muslim biasa
yang berusaha akan mendapat hidup yang baik, ia dinilai dalam apa jua
diperbuat dan diperkatakan. Keselarasan antara keduanya?
Bila
kita mampu menjadikan Allah itu pemerhati tatkala sunyi, maka akan
terbentuk satu rahmat dalam kehidupan. Dorongan ‘inside out’ akan
terbentuk. Kawalan diri dari dalam. Untuk memanusiakan manusia kita
perlukan kawalan diri dalam dalam bagi mengawal sesuatu yang bersifat
luaran. Jika kita lihat bagaimana kawalan diri Nabi Yusuf a.s terhadap
godaan Zulaikha (walaupun nama sebenarnya tidak disebut dalam Al-Quran).
Zulaikha seorang wanita bangsawan yang cantik. Jika diukur darisegi
kekayaan dialah yang paling banyak hartanya. Jika diukur darisegi
pakaian, dialah yang paling mahal. Namun, ketika mana dorongan nafsu
luaran datang keatas Nabi Yusuf , ditolak dengan meletakkan nilai Allah.
“Dan
perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk
Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu
serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab:
"Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu);
sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya;
sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". (Surah Yusuf
Ayat 23).
Madah Untuk Berubah
Semua
manusia ingin berubah, samada baik atau buruk itu terpulang buat insan.
Lalu, bila insan menyatakan kehendak maka ia harus diikuti dengan
kemahuan. Kehendak berbentuk niat dan kemahuan berbentuk perbuatan. Maka
niat yang baik harus selari dengan perbuatan yang baik. Matlamat tidak
menghalalkan cara. (kecuali dalam hal-hal tertentu).
Titik
perubahan perlu dibuat dengan beberapa peringkat yang mesti dilalui
oleh setiap insan yang ingin berubah. Sesuatu perubahan perlukan
mujahad, tanpa mengira bentuk dan situasi. Ada perkara yang kita boleh
belajar, kerana tidak semua perkara boleh dipelajari. Saya garapkan
beberapa langkah yang boleh dibuat dalam usaha mencari titik perubahan
khususnya dalam diri dan insyaAllah khususnya buat saya sendiri.
1. Susahkan diri untuk senang
Kata
hukamak, bukan senang untuk senang, cukup senang untuk susah. Dunia
adalah waktu untuk bersusah payah dan akhirat ialah tempat untuk
bersenang-senang, begitulah pegangan orang mukmin yang melihat dunia
sebagai tempat tananam (dunia) sebelum tiba musim menuai (akhirat). Sepertimana
menanam sudah pasti dengannya kita akan letih dan penat. Apakah yang
membuatkan kita bekerja keras? Adakah untuk penat dan letih semata-mata?
Sudah tentu jawabnya tidak. Kita menanam atas dasar kepercayaan bahawa
ia akan tumbuh dan kita akan menuai hasilkan sesuai dengan edaran masa
yang ditetapkan.
Maka
begitulah mukmin yang selalu bervisikan akhirat. Walau letih sentiasa
cuba dan terus mencuba dalam apa jua hal. Tidak kalah jika kita tidak
mencapai apa yang kita hajati. Kerana hakikatnya kita telah berjaya.
Berjaya untuk berusaha dan tidak kenal erti penat. Visi mukmin, visi
menuju akhirat. Itulah kompas kehidupan mereka.
2. Selalu ingat akan Qalam TuhanMu
“Sesungguhnya
orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah
sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka dan engkau tidak sekali-kali
akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (An-Nisa’ ayat
145).
Bukankah
Al-Quran diturunkan untuk memberi peringatan kepada orang yang ingin
mendengar. Oleh itu, kata kuncinya ialah “mendengar”. Mendengar,
meneliti dan amalkan.
3. Istighfar Atas Kesalahan
Gelombang
kehidupan yang sangat menekan. Tambah pula dengan fitnah akhir zaman
yang sering menjengah dalam lewat kehidupan. Dengan pantas hati berubah,
dengan cepat iman goyah. Setiap manusia yang bergelar hamba mesti
meyakini bahawa Allah itu maha penerima taubat. Akui kelemahan kita
dihadapanNya. Seringlah meminta walau sering salah kerana itu hakikat
pengabdian buat Tuhan Rabbul Jalil.
“(Kata
Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian
taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat
serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia
ada)”. (Surah Hud: 52).
4. Ikhlas Dalam Tindakan
Ikhlas
bukan dendangan mulut, sebaliknya ia alunan hati. Hati yang baik akan
menghasilkan kuasa ikhlas dalam diri. Inilah syarat yang mendatangkan
fadhilat. Kerana fadhilat tanpa syarat pincanglah amalan. Ikhlas lahir
dari keyakinan bahawa Allah ialah Tuhan yang memiliki segala sifat
kesempurnaan. Bergantung pada yang maha sempurna tidak akan membuatkan
kita sesal dalam apa jua tindakan.
Rasa
bertuhan ini sangat indah. Manakan sama orang yang mengantungkan
dirinya hanya pada dirinya yang amat lemah jika dibandingkan manusia
yang sangat bergantung harap dan usaha atas Allah, Tuhan yang maha esa.
Atas dasar kelemahan itulah menyebabkan manusia perlukan sesuatu untuk
dipegang. Tetapkan dimana Allah