Munafikkah Aku Dimatamu?







Munafikkah aku dimatamu? Sehinggakan aku tetap aku, tidak pernah berubah. Aku menyatakan aku bisa berbuat pelbagai rencah dan ramuan dalam kehidupan. Tetapi aku sering gagal dalam menterjemahkannya dalam hidup. Alangkah ruginya aku, biasa hanya mampu berbicara tanpa mampu berbuat sesuatu bagi mentafsir bicara. Ya, Allah alangkah ruginya aku.

Aku lemah dan hina. Sehinggakan terhadap satu surah dalam Al-Quran  yang sentiasa mengecam aku dalam tingkah dan perbuatan. Terasa bagai betul semua katamu. Aku berkata-kata sesuatu yang dusta dan salah. Seringkali bercanggah antara keduanya. Ya, Allah betapa aku berdusta dan engkau maha mengetahuinya.

Banyaknya kelemahan yang aku ada. Pandai bersilat kata namun rebah dalam permainan perasaan dan ujian kehidupan. Setiap kali surah itu kubaca terasa aku betul-betul selari dengan apa yang dimaksudkan. Betul aku hanya tin kosong yang kuat berbunyi, tetapi isinya kosong. Tidak ada manfaat untukmu. Logiknya, mana mungkin orang yang tidak mempunyai sesuatu boleh memberikan sesuatu. Ya Allah, tolong aku dalam mengikis sifat buruk ini.

Dikala sunyi dibalik kesibukan. Terimalah persembahkan tulisan orang yang terasa dirinya munafik ini, “Munafikkah aku dimatamu?”

Berkali-kali kita diuji dalam kehidupan. Kata-kata seolah tidak selari dengan apa yang kita perjuangkan. Hanya berkata-kata tetapi tidak mampu untuk berbuat sepertimana yang kita ucapkan. Surah Al-Manafiqun itu hanya kita hafal dan baca namun, intipati sebenar tidak kita selami dengan baik. Sering menang dalam bicara namun kalah dalam arena pembuktian. Murka Allah sering kita tempah, alangkah celakanya kita. Ya, lebih-lebih lagi aku.
 

 


Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)?

Adakah kita (lebih-lebih lagi aku) adalah kayu buruk yang dimaksudkan?. Ada umpama tiada. Hawa nafsu menjadi sandaran utama. Seolah-olah bertuhankan nafsu. Tidak sedar apa tujuan hidup ini. Masih lagi tidak sedar bahawa Allah selalu mengutuskan orang-orang baik dalam menasihati kita dalam kehidupan. Namun masih lagi kita gagal dalam menterjamah perbuatan seiring perkataan. Adakah aku menunggu bala Allah sampai hingga menerobos ke ruang dalam dalam kehidupan?

Lembut yang tidak semestinya lembut
Alangkah ruginya kita (lebih-lebih lagi aku) bila hati keras dalam menerima tarbiah dan didikan. Kita sering hendakkan kebaikan dalam hidup, tapi sayang kita tidak menuju kepadanya. Kita sering menyatakan ingin lembutkan hati dalam melonjak perubahan dengan adanya mereka yang baik disisi. Namun yang terjadi adalah sebaliknya. Hati kita keras untuk itu.

Kita berpura-pura baik didepan orang ramai. Namun, sebenarnya kita mampu menilai siapakah kita dihadapan Allah s.w.t yang Maha Agung. Pakaian kita, tutur kata, dan perlakuan yang kita agungkan dengannya membuatkan kita sering lupa. Kita semua tahu sejarah silam kita, dulu kita bagaimana, sekarang pula kita bagaimana. Tidakkah kita memerhatikan Allah telah memberikan nikmat kepada kita dalam bentuk yang pelbagai. Kelembutan juga kekerasan. Semuanya tarbiah daripadanya. Apakah kita tidak memerhatikannya? 


(2) Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!
(3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.

Dimana Allah Dihati Kita?
Dimana Allah dalam setiap tingkah dan laku dalam penghidupan? Kehidupan tanpa penghidupan adalah kekakuan dan kepayahan. Tanya pada diri samada kita membina kehidupan atau penghidupan. Tidak cukup dengan hanya kehidupan yang baik, tetapi kita memerlukan penghidupan yang mulia. Muslim biasa yang berusaha akan mendapat hidup yang baik, ia dinilai dalam apa jua diperbuat dan diperkatakan. Keselarasan antara keduanya?

Bila kita mampu menjadikan Allah itu pemerhati tatkala sunyi, maka akan terbentuk satu rahmat dalam kehidupan. Dorongan ‘inside out’ akan terbentuk. Kawalan diri dari dalam. Untuk memanusiakan manusia kita perlukan kawalan diri dalam dalam bagi mengawal sesuatu yang bersifat luaran. Jika kita lihat bagaimana kawalan diri Nabi Yusuf a.s terhadap godaan Zulaikha (walaupun nama sebenarnya tidak disebut dalam Al-Quran). Zulaikha seorang wanita bangsawan yang cantik. Jika diukur darisegi kekayaan dialah yang paling banyak hartanya. Jika diukur darisegi pakaian, dialah yang paling mahal. Namun, ketika mana dorongan nafsu luaran datang keatas Nabi Yusuf , ditolak dengan meletakkan nilai Allah.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya". (Surah Yusuf Ayat 23).

Madah Untuk Berubah
Semua manusia ingin berubah, samada baik atau buruk itu terpulang buat insan. Lalu, bila insan menyatakan kehendak maka ia harus diikuti dengan kemahuan. Kehendak berbentuk niat dan kemahuan berbentuk perbuatan. Maka niat yang baik harus selari dengan perbuatan yang baik. Matlamat tidak menghalalkan cara. (kecuali dalam hal-hal tertentu).

Titik perubahan perlu dibuat dengan beberapa peringkat yang mesti dilalui oleh setiap insan yang ingin berubah. Sesuatu perubahan perlukan mujahad, tanpa mengira bentuk dan situasi. Ada perkara yang kita boleh belajar, kerana tidak semua perkara boleh dipelajari. Saya garapkan beberapa langkah yang boleh dibuat dalam usaha mencari titik perubahan khususnya dalam diri dan insyaAllah khususnya buat saya sendiri.
 
1. Susahkan diri untuk senang
Kata hukamak, bukan senang untuk senang, cukup senang untuk susah. Dunia adalah waktu untuk bersusah payah dan akhirat ialah tempat untuk bersenang-senang, begitulah pegangan orang mukmin yang melihat dunia sebagai tempat tananam (dunia) sebelum tiba musim menuai (akhirat).  Sepertimana menanam sudah pasti dengannya kita akan letih dan penat. Apakah yang membuatkan kita bekerja keras? Adakah untuk penat dan letih semata-mata? Sudah tentu jawabnya tidak. Kita menanam atas dasar kepercayaan bahawa ia akan tumbuh dan kita akan menuai hasilkan sesuai dengan edaran masa yang ditetapkan.

Maka begitulah mukmin yang selalu bervisikan akhirat. Walau letih sentiasa cuba dan terus mencuba dalam apa jua hal. Tidak kalah jika kita tidak mencapai apa yang kita hajati. Kerana hakikatnya kita telah berjaya. Berjaya untuk berusaha dan tidak kenal erti penat. Visi mukmin, visi menuju akhirat. Itulah kompas kehidupan mereka.

2. Selalu ingat akan Qalam TuhanMu
“Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) Neraka dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.” (An-Nisa’ ayat 145).
 
 
Bukankah Al-Quran diturunkan untuk memberi peringatan kepada orang yang ingin mendengar. Oleh itu, kata kuncinya ialah “mendengar”. Mendengar, meneliti dan amalkan.

3. Istighfar Atas Kesalahan
Gelombang kehidupan yang sangat menekan. Tambah pula dengan fitnah akhir zaman yang sering menjengah dalam lewat kehidupan. Dengan pantas hati berubah, dengan cepat iman goyah. Setiap manusia yang bergelar hamba mesti meyakini bahawa Allah itu maha penerima taubat. Akui kelemahan kita dihadapanNya. Seringlah meminta walau sering salah kerana itu hakikat pengabdian buat Tuhan Rabbul Jalil.

“(Kata Nabi Hud) dan Wahai kaumku! mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian taubatlah kepadaNya, supaya ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu (yang sedia ada)”. (Surah Hud: 52).

4. Ikhlas Dalam Tindakan
Ikhlas bukan dendangan mulut, sebaliknya ia alunan hati. Hati yang baik akan menghasilkan kuasa ikhlas dalam diri. Inilah syarat yang mendatangkan fadhilat. Kerana fadhilat tanpa syarat pincanglah amalan. Ikhlas lahir dari keyakinan bahawa Allah ialah Tuhan yang memiliki segala sifat kesempurnaan. Bergantung pada yang maha sempurna tidak akan membuatkan kita sesal dalam apa jua tindakan.

Rasa bertuhan ini sangat indah. Manakan sama orang yang mengantungkan dirinya hanya pada dirinya yang amat lemah jika dibandingkan manusia yang sangat bergantung harap dan usaha atas Allah, Tuhan yang maha esa. Atas dasar kelemahan itulah menyebabkan manusia perlukan sesuatu untuk dipegang. Tetapkan dimana Allah

 
 

Followers

Facebook Twitter RSS