Powered by Blogger.

Mencari Wajah Tuhan


Mencari wajah Tuhan,
Menemukan aku dengan wajah jelek diriku sendiri,
Tiada yang indah pada wajah ini,
Cuma secebis nilai hamba,
Yang masih tersisa.


Mencari wajah Tuhan,
Menemukan aku dengan anjing-anjing dunia,
Mengenalkan aku dengan samseng-samseng kehidupan,
Mereka-mereka yang tak pernah berputus asa,
Menyeru namaku untuk menyertai saf mereka,
Memperjuangkan syurga sengsara.


Mencari wajah Tuhan,
Membuka sejuta kerosakan,
Membongkar semua rongga kesulitan,
Membunuh segala keluh kesah,
Membersihkan segala karat dan kekotoran,
Lalu takbir dilaung penuh merdeka,
Bebas tanpa duka lagi.


Mencari wajah Tuhan,
Menemukan aku erti hidup,
Yang selama ini ialah rahsia,
Kisah cinta sejati,hamba kepada tuannya.


Wahai Allah yang Maha Pengasih,
Aku telah jatuh cinta kepada-Mu
Hidupkanlah aku dalam cinta-Mu,
Dan matikanlah aku dalam kasih-Mu,
Izinkan aku menjadi salah seorang hamba-Mu,
Yang akan menatap wajah-Mu di dalam syurga,
Tiada duka, tiada sengsara, cuma kebahagian yg hakiki,
Balasan atas kekerdilan diri,

Mencari wajah Tuhan...

Harga Setuang Cinta



Tenggelam relung dadaku dalam syahdu,
Titis mutiara jatuh berderai derai,
Mengukur layakkah diri menerima nikmat cinta sejati darimu Ya tuhanku,
Dengarlah bisikan doaku dalam sujud sembah pada-Mu...
Aku yang menghitung luka-luka parah, 
Menyelar tiap ketenangan pada angin lalu, 
Aku yang mengadu domba pada alam, 
Menyaksikan sang bulan memuntahkan darah merah...
Tempiasnya mengukir parut-parut duka,
Kebeningan malam mencucuk sanubari,
Dalam dakapan rindu aku tersungkur jatuh tersembam,
Meraba raba mencari erti sebuah kasih sayang...
Apakah ini harga yang harus kubayar untuk setuang cinta dari-Mu Tuhanku? 
Kehibaan aku merangkak menjilat noda yang menjerat jiwa,
Pada parah yang mencengkam hati nan luluh,
Dalam menghidang cinta buat penciptaku...

Mutiara Hidup



Musuh utama manusia adalah dirinya sendiri,
Kegagalan utama manusia adalah kesombongannya.

Kebodohan utama manusia,
Adalah sifat menipunya.

Kesedihan utama manusia,
Adalah rasa iri hatinya.

Kesalahan utama manusia,
Adalah mencampakkan dirinya,
Dan orang lain.

Sifat manusia yg terpuji adalah rendah hati,
Sifat manusia yang paling diuji adalah semangatnya,
Kehancuran terbesar manusia adalah putus asa,
Harta utama manusia adalah kesihatan.

Hutang terbesar manusia adalah sifat berkeluh-kesah,
dan tidak memiliki kebijaksanaan,
Ketenteraman manusia adalah,
Suka bersedekah dan beramal.

Segala pekerjaan mudah untuk dilakukan kecuali satu hal,
Memahami apa adanya tanpa mempersoalkan 'kekurangannya'.

Sebagaimana diri kita, demikian juga makhluk lain,
Sebagaimana makhluk lain, demikian juga diri kita.

Dengan memikirkan mereka, dengan membandingkan mereka,
Tidak seharusnya kita saling berselisih, bertengkar,
Dan membunuh atau menyebabkan hal itu.

Seperti Jauhnya Timur dan Barat




Kadang-kadang bisikan seolah melawan takdir dan ketentuan datang berupa persoalan, "kenapa aku begini, sedangkan dia begitu". Ataupun, "kalaulah aku tidak begitu tentu tak jadi begini". Ya Allah, halus benar jarum tusukan syaitan membisikkan kalimah-kalimah pujukan sambil dihiasi dengan kepalsuan semata. 
Diajak kita ke taman, rupanya taman itu adalah taman larangan.
Diajak menyusuri sungai, namun rupanya sungai itu sungai yang telah dituba.
Ironinya sebagai manusia, kita cuba menjadi sehabis baik untuk taat pada pencipta, untuk sentiasa tunduk dan memegang janji yang sudah kita pateri sejak di alam roh sana.
Di mana? Di alam sana, sebelum kita sampai di dunia.
Apabila Allah meminta janji kita untuk hanya bertuhankan Allah, Kita menjawab: "Bala wa Rabbina" (ya bahkan Engkau Tuhan kami).
Tundukkanlah hati yang membeku dari peringatan Tuhan, yang telah disesatkan dalam keseronokan dunia yang sementara.
Itu semua hanya mengaburi pandangan dari jalan indah menuju Tuhan.
Menangislah wahai sepasang mata, bukan kerana perkara sia-sia ataupun kecewa dengan perkara dunia.
Menangislah kerana mengenangkan terlalu hina dan kotornya diri di hadapan Tuhan.
Kita yang datang dariNya, diciptakan tentunya daripada agungnya sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, maka terlahirlah kita di dunia lantas disayangi ibu bapa dan kaum keluarga.
Namun setahun demi setahun, seakan kasih abadi yang fitrah itu telah kita lupakan.
Apakah kita telah mula cuba melupakan cinta dan kasih Tuhan setelah kita temui cinta dan kasih yang terbenih sementara di dunia.
Ingin sekali jika ditanyakan pada setiap diri, apakah yang kita mahu di pengakhiran kehidupan kita nanti?
Benarkah semua fatamorgana dunia boleh dibawa bersama ke permulaan kehidupan selepas kematian?
Tidak dan sekali-kali tidak. Tiada umur kedua yang baik andai umur pertama sudah didedahkan dengan kemungkaran tanpa taubat.
Kembalilah wahai hati-hati, lunakkanlah jiwa mengingati kasih sayang Tuhan.
Nikmat selepas iman dan islam, apabila Dia menyembunyikan keaibanmu yang tiada pernah diketahui manusia.
Hanya antara dirimu dan Allah. Allahu Akbar.
Mengapalah diri kita masih sirna lagi daripada peringatan Tuhan.
Sedangkan diri yang selalu berdosa masih Allah tunjukkan kasihNya dengan menyembunyikan aib diri kita daripada diketahui manusia, maka siapakah lagi Yang Amat Mengasihi kita selain Allah?
Tiada kasih setaraNya wahai hati.
Bila difirmankan, "Janganlah kamu dekati...", janganlah sesekali dekati ia wahai insan.
Bila larangan itu datang dari Yang Maha Menciptakan kita, yang tentu sahaja mengasihi kita, sudah tentu sahaja larangan itu untuk menyelamatkan kita.
Bukan pula mahu memenjara kita dan menyeksa kita dalam kehidupan dunia ini. Subhanallah.
Kasih sayang Allah itu mengapa sering kita lupai.
Dalam merenung hari-hari mendatang, andai masih ada malam-malam yang terlalai dengan perkara sia-sia, sempatkanlah jua mensujudkan dahi tika tahajjud, dekatkan diri kepadaNya, basahkan lidah dengan zikir, kerahkan jiwa dengan pengaduan sesalan dan pengharapan hanya kepadaNya, mudah-mudahan agar sepertiga malam kita dimaniskan dengan mengingati Allah. Hanya Dia.
Semoga terpadam kekusutan yang bersarang, terlerai jua kesilapan yang mencengkam dan tersinar kembali cahaya iman sehingga bisa menarik kembali kebaikan-kebaikan yang pernah ghaib akibat dimatikan setompok noda hitam.
Buat diri-diri yang dikasihi sekalian, doa ini Rasulullah SAW ajarkan pada kita. Amalkanlah sambil dihayati maknanya, mudah-mudahan dijauhkan dan disucikan diri kita daripada dosa-dosa:
اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِى وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ ، اللَّهُمَّ نَقِّنِى مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَاىَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ
Maksudnya: "Ya Allah, jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih daripada kekotoran. Ya Allah, sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk." (Daripada Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)
Ameen Ya Rabb al-alamin. 
Mudah-mudahan Allah menjauhkan diri kita dari dosa sebagaimana dijauhkan antara timur dan barat. Wallahu'alam.

Kalau Allah Itu Maha Baik, Kenapa Buat Neraka?

Ini kisah benar.. Kisah seorang gadis Meayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama.

Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Saya tidak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya mereka akan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan.

Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di sebuah pasaraya telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat.

Maka dia pun kena denda.

Setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "lepas ini diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan.

Peraturan ni bukan semata-mata peraturan Majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga.

Kalau derhaka tidak mematuhi perintahNya, takut nanti tidak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah.

Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tidak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka."

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka?

Kenapa tidak sediakan syurga sahaja? Macam itu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia sudah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz. Sudah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung.

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia.

Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz.

Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.

Hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga.

Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur.

Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga. Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan:

"Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga.

Maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma.

Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga. Perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga.

Selepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak. Tak ada siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.

Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?" Tanya ustaz.

"Mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas macam tu je." Rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya:

"Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil.

Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain.

Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji di atas dunia ni.

Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan hak kita untuk berpakaian sesuka hati kita.

Ingatlah, semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian.

Semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita juga."

~Hatiku Milik-Nya~



Jemari kemas menggengam pena,
Melakar karya cinta pada-Nya,
Fikiran lemas tipuan buana,
Inilah puisi hatiku milik-Nya.
Hati tunduk mengabdikan diri,
Jiwa teguh ujian ilahi,
Tarbiah nafsu didik peribadi,
Insan soleh tetamu syurgawi.
Mata melirik semesta duniawi,
Telinga mendengar zikir yang suci,
Akal mentafsir yang tersurat,
Naluri menyingkap yang tersirat.
Susuri jalan yang satu,
Redahi ujian dalam rahmat-Nya,
Semakin berpadu cahaya kasih-Nya,
Benarlah kini, hatiku milik-Nya.
Mencari cinta ku temui noktah,
Mencari rindu ku temui sendu,
Mencari kasih ku temui sedih,
Mencari gembira ku temui lara.
Kian tercipta denai cinta,
Bisa terlukis hamparan rindu,
Moga terlakar gelombang kasih,
Agar terpahat lukisan gembira.
Pena ini terus bertinta,
Menanti ilham menukil kata,
Hatiku ini tetap milik-Nya,
Dari azali hingga akhir nyawa.

Followers

Facebook Twitter RSS