Seperti Jauhnya Timur dan Barat




Kadang-kadang bisikan seolah melawan takdir dan ketentuan datang berupa persoalan, "kenapa aku begini, sedangkan dia begitu". Ataupun, "kalaulah aku tidak begitu tentu tak jadi begini". Ya Allah, halus benar jarum tusukan syaitan membisikkan kalimah-kalimah pujukan sambil dihiasi dengan kepalsuan semata. 
Diajak kita ke taman, rupanya taman itu adalah taman larangan.
Diajak menyusuri sungai, namun rupanya sungai itu sungai yang telah dituba.
Ironinya sebagai manusia, kita cuba menjadi sehabis baik untuk taat pada pencipta, untuk sentiasa tunduk dan memegang janji yang sudah kita pateri sejak di alam roh sana.
Di mana? Di alam sana, sebelum kita sampai di dunia.
Apabila Allah meminta janji kita untuk hanya bertuhankan Allah, Kita menjawab: "Bala wa Rabbina" (ya bahkan Engkau Tuhan kami).
Tundukkanlah hati yang membeku dari peringatan Tuhan, yang telah disesatkan dalam keseronokan dunia yang sementara.
Itu semua hanya mengaburi pandangan dari jalan indah menuju Tuhan.
Menangislah wahai sepasang mata, bukan kerana perkara sia-sia ataupun kecewa dengan perkara dunia.
Menangislah kerana mengenangkan terlalu hina dan kotornya diri di hadapan Tuhan.
Kita yang datang dariNya, diciptakan tentunya daripada agungnya sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, maka terlahirlah kita di dunia lantas disayangi ibu bapa dan kaum keluarga.
Namun setahun demi setahun, seakan kasih abadi yang fitrah itu telah kita lupakan.
Apakah kita telah mula cuba melupakan cinta dan kasih Tuhan setelah kita temui cinta dan kasih yang terbenih sementara di dunia.
Ingin sekali jika ditanyakan pada setiap diri, apakah yang kita mahu di pengakhiran kehidupan kita nanti?
Benarkah semua fatamorgana dunia boleh dibawa bersama ke permulaan kehidupan selepas kematian?
Tidak dan sekali-kali tidak. Tiada umur kedua yang baik andai umur pertama sudah didedahkan dengan kemungkaran tanpa taubat.
Kembalilah wahai hati-hati, lunakkanlah jiwa mengingati kasih sayang Tuhan.
Nikmat selepas iman dan islam, apabila Dia menyembunyikan keaibanmu yang tiada pernah diketahui manusia.
Hanya antara dirimu dan Allah. Allahu Akbar.
Mengapalah diri kita masih sirna lagi daripada peringatan Tuhan.
Sedangkan diri yang selalu berdosa masih Allah tunjukkan kasihNya dengan menyembunyikan aib diri kita daripada diketahui manusia, maka siapakah lagi Yang Amat Mengasihi kita selain Allah?
Tiada kasih setaraNya wahai hati.
Bila difirmankan, "Janganlah kamu dekati...", janganlah sesekali dekati ia wahai insan.
Bila larangan itu datang dari Yang Maha Menciptakan kita, yang tentu sahaja mengasihi kita, sudah tentu sahaja larangan itu untuk menyelamatkan kita.
Bukan pula mahu memenjara kita dan menyeksa kita dalam kehidupan dunia ini. Subhanallah.
Kasih sayang Allah itu mengapa sering kita lupai.
Dalam merenung hari-hari mendatang, andai masih ada malam-malam yang terlalai dengan perkara sia-sia, sempatkanlah jua mensujudkan dahi tika tahajjud, dekatkan diri kepadaNya, basahkan lidah dengan zikir, kerahkan jiwa dengan pengaduan sesalan dan pengharapan hanya kepadaNya, mudah-mudahan agar sepertiga malam kita dimaniskan dengan mengingati Allah. Hanya Dia.
Semoga terpadam kekusutan yang bersarang, terlerai jua kesilapan yang mencengkam dan tersinar kembali cahaya iman sehingga bisa menarik kembali kebaikan-kebaikan yang pernah ghaib akibat dimatikan setompok noda hitam.
Buat diri-diri yang dikasihi sekalian, doa ini Rasulullah SAW ajarkan pada kita. Amalkanlah sambil dihayati maknanya, mudah-mudahan dijauhkan dan disucikan diri kita daripada dosa-dosa:
اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِى وَبَيْنَ خَطَايَاىَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ ، اللَّهُمَّ نَقِّنِى مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ ، اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَاىَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ
Maksudnya: "Ya Allah, jauhkanlah antara diriku dengan dosa-dosa sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat. Ya Allah, bersihkanlah diriku dari dosa-dosa seperti mana bersihnya pakaian yang putih daripada kekotoran. Ya Allah, sucikanlah dosa-dosaku dengan air, salju dan air yang sejuk." (Daripada Abu Hurairah, Riwayat Bukhari & Muslim)
Ameen Ya Rabb al-alamin. 
Mudah-mudahan Allah menjauhkan diri kita dari dosa sebagaimana dijauhkan antara timur dan barat. Wallahu'alam.

Followers

Facebook Twitter RSS