Hati-hati Dengan Hati

Seketul daging. Terisi di dalamnya dengan seribu perasaan yang kadang-kadang sukar untuk diertikan. Manusia.. Ramai yang lemah kerananya. Memilikinya tanpa sedar akan pengaruhnya. Kenapa ramai yang suka menjadi hambanya? Menurut segala kemahuannya tanpa bertanya pada akal yang lebih sempurna.

Hati. Segalanya bermula di situ. Hati yang penuh dengan kasih dan sayang, hati yang penuh dengan rasa benci dan dendam, hati yang sentiasa cintakan kedamaian, hati yang sentiasa inginkan kepuasan. Cantik dan buruknya perilaku seseorang bergantung pada ketulusan hatinya.






Betapa sukar untuk menjaga sekeping hati... Pernah kita menjaga hati dengan sebaiknya? Atau kita sering mencacatkan hati dengan kerakusan hawa nafsu semata? Manusia mampu mencipta nama segah mungkin. Mampu melakar rangkaian teknologi yang canggih. Mampu merungkai rahsia alam yang sukar untuk ditembusi. Namun mengapa manusia ini khilaf dalam menjaga sekeping hati nan suci?

Hati seringkali dipenuhi dengan hasad dan dengki, benci dan dendam yang tidak terperi sehingga mampu mempengaruhi tangan dan kaki bergerak, berfungsi tanpa mengikut rentak akal yang diberi. Mengapa sanggup membiarkan hati yang penuh dengan amarah ini menyentuh sekeping hati yang penuh dengan ketulusan kasih sayang yang suci? Puaskah hatimu mencerobohi kamar hati dengan kerakusan hawa nafsu sendiri? Puaskah?

Kerana hati, ramai yang tersungkur, rebah menjadi hamba duniawi. Apabila diri dipuji-puji, hati kembang tidak terperi. Mencipta keangkuhan dalam hati dan merasakan akulah yang terhebat di muka bumi ini. Melayarkan sayap kesombongan sehingga terlupa untuk berpijak di bumi.

Lupa pada erti kesyukuran atas nikmat yang telah Allah pinjamkan. Hanya kerana rentetan hati yang teruji dengan pujian yang menggunung tinggi. Apabila ditegur akan kesilapan diri, dengan angkuh dan sombongnya menolak kritikan sehingga menampakkan kekejian di hati. Tertawalah si Syaitan dan Iblis kerana berjaya menghunuskan pedangnya di hati manusia yang 'mati' dari cahaya Illahi. Tidakkah kita sedar semua ini?

Ada segelintir manusia yang merasakan dirinya sudah cukup hebat di sisi Ya Rabb. Solatnya, zikirnya, ibadahnya dirasakan sungguh cukup sempurna dan mampu melintasi titian sirat dengan mudah. Sehingga menciptakan segelumit rasa bangga di dalam hatinya kerana menyangka diri tergolong dalam golongan mukmin. Jangan!




Jangan pernah berprasangka seperti ini kerana hati manusia sangat rapuh. Sangat-sangat rapuh. Allah mengetahui sejauh mana keikhlasan hamba-Nya dalam mencari cahaya cinta-Nya. Rasulullaah S.A.W sendiri yang sentiasa dilindungi Allah, yang telah dijanjikan Allah syurga Firdausi tidak pernah walau sedetik pun meninggi diri memperkatakan amalan yang dilakukan sehari-hari.

Malahan Nabi kita ini beribadah sehingga bengkak kaki Baginda hanya untuk menuntut takwa dan kasih sayang Allah S.W.T. Maka, mengapa kita yang hanya hamba-Nya yang sangat-sangat kerdil merasa bongkak dan angkuh seperti itu? Adakah kita akan merasa aman kerana secara zahirnya kita soleh tetapi hati kita sebenarnya terselingkuh di kemudian hari? Tidakkah kita takut dengan amaran Allah?

Dari sekeping hati yang suci mampu berubah menjadi onar dan duri. Hati pada asalnya penuh dengan kelembutan dan kasih sayang agar kita saling menyayangi dan melindungi sesama sendiri tetapi apa yang telah terjadi pada detik ini? Kerana dendam kita bermusuhan. Kerana dengki kita mencipta pergaduhan. Kerana marah, kita sanggup meleraikan persahabatan. Rosak binasalah hati akhirnya membawa kemusnahan pada diri sendiri.

Inilah persoalan yang membungkam pemikiran hati ini. Perihal penyakit hati yang semakin meruncing yang menggugat keimanan dan melunturkan ketakwaan. Ukhuwah yang terjalin terlerai hanya kerana terpedaya dengan bisikan hati yang sentiasa di cucuk dengan hasutan Iblis.

Jangan gunakan kebencian dan kedengkian kerana apa pun kebaikan akan bernilai negatif di mata para pendengki. Jangan dibiarkan hati terus bernanah, membusuk sehingga kebusukan itu dapat dihidu oleh orang lain. Didiklah, tuntunilah hati ini dengan madah dan kata Allah.

Bersihkan hati ini dari kata yang kelam lagi suram. Jauhkanlah hati dari nafsu dan dendam. Dikhuatiri kita terus hanyut dalam jalan yang suram sedangkan jalan yang terang luas terbentang tidak dapat dilihat hanya kerana hati yang hitam penuh kegelapan. Semoga kita terlindung dari kekejian hati. Amin..

Ketahuilah bahawa di dalam dada manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya, apabila ia rosak, rosaklah seluruhnya. Ketahuilah seketul daging itu adalah hati.
[HR Bukhari dan Muslim]

Followers

Facebook Twitter RSS