Kemuncup di jalanan




Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Sedar tak sedar usia kita semakin berganjak. Sesetengah orang, hari-hari yang dilalui penuh dengan gelak ketawa, hilai tawa. Namun ada juga mereka yang melalui episod kehidupan dengan duka dan lara. Semuanya sudah tertulis untuk setiap langkah perjalanan kita sebagai hamba di bawah langit yang kita junjung.

Namun, dalam mengejar keindahan yang terselit di sebalik bilahan dunia, atau dalam sibuk melawan kehendak dan keinginan hati yang tidak pernah bertepi, atau sedang keliru memilih jalan-jalan yang terbentang banyak pilihan...ada sesuatu yang pasti. Sesuatu itu yang menentukan kehendak pilihan, sesuatu itu yang menimbangtara tindakan, sesuatu itu yang menyekat keinginan berlebihan, sesuatu itu yang membuatkan seseorang tidak lupa hidup sebagai hamba dan akan ada pengadilan. iaitu dosa dan pahala.

Berjalan di bumi yang luas terbentang, dengan memenuhi kehendak-kehendak yang ada, umpama berjalan di padang yang penuh kemuncup. Jalan di padang itulah yang harus kita lalui. Jalan yang asalnya bersih dan tersisih dari segala macam tumbuhan yang menganggu, kini penuh dengan kemuncup yang segar dan pastinya akan melekat pada pakaian seandainya kita melalui jalan itu tanpa berhati-hati. Namun, walau berhati-hati setakat mana sekalipun pasti benih-benih kemuncup itu akan terlekat jua walau satu atau dua. Kerana hanya itu jalan yang harus kita lalui, dan hanya itu jalan yang kebanyakkan orang yang lintasi.

Namun, orang-orang yang merasa kemuncup yang melekat itu sebagai kotoran atau sesuatu yang menganggu, pasti akan disishkannya. Behenti sebentar di tepian, dan sisihkan kemuncup yang melekat di pakaiannya. Tapi, bagi yang tidak merasai iainya sebagai satu gangguan, tanpa rasa rimas, diteruskan perjalanan dengan kemuncup yang semakin hari semakin penuh di pakaiannya.

Begitulah umpama hidup ini, hari-hari yang kita lalui penuh dengan benih-benih dosa yang berada diperjalanan hidup. Setiap hari, bahkan setiap detik kita sentiasa dihidangkan dengan bibit-bibit dosa yang ada pada anasir jahiliyyah. Apa yang kita pandang, apa yang kita dengar, apa yang kita lihat, apa yang kita fikir, apa yang kita perkatakan, apa yang kita lakukan, dan segala macam tindakan yang kita ambil setiap hari, terdedah dengan dosa. Mata kadangkala memandang perkara-perkara maksiat, mulut mudah menabur fitnah dan mengucapkan nista, tangan dan kaki terarah melakukan tindakan murka, telinga berpeluang mendengar sesuatu yang enak di dengar namun hakikatnya mengundang dosa, Fikiran sentiasa mencari peluang menghancurkan tindakan mulia dan hati yang menjadi pusat kawalan akhirnya tunduk jua pada nafsu yang bermaharajalela. Na'uzubillah.

Begitulah kehidupan yang sudah diselaputi anasir-anasir jahiliyyah yang ada. Bagi mereka yang tidak sedar akan hakikat ini, pasti akan berkata "Inilah syurga dunia". Dengan segala macam kemewahan dan keindahan yang ada di dunia telah mengabuli mata untuk melihat hakikat syurga yang sebenarnya. Mata yang enak dan terbiasa dengan memandang perkara-perkara dosa tidak lagi merasakan itulah adalah dosa, malah merasakan itu adalah satu kebiasaan yang dilakukan oleh orang kebanyakkan sekarang. 'kebiasaan' itu telah menyelaputi dan mengabuli mata hati untuk melihat kebenaran. Sesungguhnya syaitan itu kreatif. Pandai menukar warna hitam dosa kepada warna-warna indah menurut keinginan manusia, kerana dia tahu manusia itu pasti kalah dengan keinginan.

Namun, bagi orang yang sedar bahawa hidup ini banyak anasir jahiliyyah yang menanti di jalanan, pasti akan berhati-hati dalam menapak atas pentas kehidupan. Umpama padang kemuncup yang ada jalan-jalan yang harus kita lalui untuk sampai ke destinasi. Setiap daripada 'mereka' takkan terlepas dari terkena kemuncup, namun yang menjadi penilaian, diantara kita, siapa yang berusaha membersihkan kemuncup yang melekat pada pakaian. Berhenti sebentar menyinsihkannya atau terusan berjalan tanpa rasa apa-apa? Semoga yang tidak merasa sensitif pada setiap tusukan 'kemuncup' pada pakaian itu, bukanlah kita.

Begitulah kehidupan. Tiada siapa terlepas dari melakukan dosa. Namun, di antara kita siapakah 'mereka' yang berusaha untuk berhenti sebentar mencari persinggahan lantas muhasabah dan bertaubat atas keterlanjuran tindakan yang mengundang dosa dan murka Tuhan? Di antara kita siapa yang merasa resah atas setiap dosa yang kita lakukan? Di antara kita siapa yang berusaha untuk melalui jalan yang jauh dari bibit-bibit kemurkaan Allah? Semoga 'mereka' itu adalah kita.

Ungkapan pegangan berbau gurauan " Alah, nanti dah tua bertaubatlah" sering kita dengar. Namun, pernah atau tidak kita terfikir, usia itu rahsia Allah. Ungkapan itu hanya sesuai apabila kita sampai usia tua, tapi kalau tidak sempat tua? Dipertengahan usia remaja ajal sudah menjemput, bagaimana? Kerana usia itu adalah rahsialah seharusnya kita perlu lebih berhati-hati dalam menapak di bumi ini. Berapa ramai yang menghabiskan usianya pada umur muda belia? Dan yang pentingnya berapa ramai yang menghembuskan nafas terakhir dengan dirinya sudah bersih dari dosa?


Kecenderungan melakukan dosa adalah lumrah seorang hamba, namun yang menjadi ukuran Allah kepada kita adalah setakat mana kita berusaha membersihkan dosa-dosa itu.
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih. Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkanAku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anakAdam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi"

Kerana itulah pentingnya muhasabah berterusan. Semoga perjalanan harian yang kita lalui tidak melekat dengan kemuncup tanpa pernah berusaha untuk membersihkannya yang akhirnya kita bawa berterusan sehingga sampai ke destinasi.

Biarlah kehidupan yang kita lalui bersih dari dosa dan yang kita persembahkan pada Allah di akhir kehidupan nanti hanyalah pahala. InsyaAllah.

Followers

Facebook Twitter RSS