Agama adalah Seluruh Kehidupan


Agama adalah seluruh kehidupan
Ada yang lahir ada yang batin
Iman, Islam dan ihsan adalah patinya
atau ajaran terpokok

Pecahan dari tiga aspek tadi
yang merupakan satu pakej
jadilah agama itu luasnya seluruh kehidupan
Adakalanya disebut hablumminallah
wahablumminannas

Hablumminallah adalah asas dan tapak agama
dari Tuhan
Hablumminannas adalah cabangnya atau buah
daripada hablumminallah
Ertinya agama itu ia berlaku dan mesti berlaku
di mana-mana

Di dalam masjid sudah tentu semua orang tahu
Ia berlaku di pejabat, di pasar, di tengah masyarakat,
di dalam perjuangan, di dalam kebudayaan dan perhubungan

Di dalam rumah tangga, di dalam perhubungan
di dalam negara atau antarabangsa
Berlaku di dalam jiran tetangga,
di dalam pendidikan formal atau tidak formal
Berkasih sayang, rasa bersama, bekerjasama,
bersatu-padu adalah agama

Di dalam perhimpunan, di dalam perayaan,
di dalam mesyuarat,
di dalam bersukan mesti ada agama
Bertimbang rasa, perikemanusiaan,
bertolak ansur, berlapang dada, itu agama juga

Di waktu memandu di jalan raya,
membersihkan bandar, ketika bertugas menjadi nelayan,
bekerja di kilang, semuanya agama
Mentadbir negara, menjaga negara,
menjaga keselamatan dan keamanan juga agama

Berkawan, berkenalan, berbual, makan, rehat-rehat,
tidur dan baring adalah agama
Begitulah luasnya agama, tidak seperti yang difaham
selama ini oleh kita

Tanggapan ramai orang Islam agama itu hanya semata-mata
ibadah rukun Islam serta sunat-sunatnya
Kalau agama itu berlaku di mana-mana
selagi berlaku syariat Tuhan sebagai disiplinnya
itu ibadah umumlah namanya

Ertinya agama atau ibadah itu berlaku di udara,
di darat, di laut, di hutan, di bukit, di gunung,
di padang pasir, selagi ada manusia

Kalau agama berlaku di mana-mana
ertinya ibadah umum berlaku di mana-mana sahaja
selagi ada manusia
Sekiranya agama berlaku di mana-mana sahaja
selamatlah manusia

Kerana maknanya agama itu ‘tidak kacau’
mengikut bahasa Sanskrit
Ertinya orang beragama tidak huru-hara di dalam kehidupan
ertinya aman damai, harmoni, bahagia

Tapi makna agama itu telah dipersempit
maka manusia hidup huru-hara di mana-mana
bahkan berlaku di masjid
Kerana itulah umat Islam hina di mana-mana
kerana agama yang diamalkan selama ini adalah sempit

Followers

Facebook Twitter RSS