Mengenal Tuhan itu fardhu ain
Posted by
Quezee
Monday, July 8, 2013 at 6:49 PM
0
comments
Mengenal Tuhan itu fardhu ain atas tiap-tiap mukallaf dengan mengetahui namanya dan sifat-sifatnya yang disuruh oleh syarak asysyarif dengan ajaran daripada rasul-rasul.
Maka bagi Tuhan ada banyak nama-nama yang molek (Asmaulhusna ) dan sifat-sifat yang maha besar dan yang maha tinggi. Nama Tuhan yang lebih masyhur di antara segala nama-namanya ialah ALLAH disebut lafzul jalalah (lafaz yang maha besar )maka yang lain daripada ini diketahui daripada Quran dan Hadis semuanya itu masyhur di sisi orang Islam sebahagian daripadanya Ar Rahman, Ar Rahim, Al Quddus, As Salam, Al Mukmin.dll.
Sifat-sifat yang diketahui oleh mukallaf terbahagi
kepada dua bahagi:
1. Mengetahui sifat-sifat Tuhan dengan ijmali (ringkas)
iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh putus bahawasanya seseorang dengan iktiqad yang wajib bagi ALLAH Taala bersifat dengan tiap-tiap sifat kesempurnaan yang lain dengan keadaan ketuhanan dan mustahil atasnya bersifat dengan apa-apa jua sifat kekurangan.
2. Mengetahui sifat-sifat Tuhan dengan jalan tafsili (satu persatu)
iaitu bahawa beriktiqad dan berpegang oleh seseorang dengan iktiqad yang
putus dengan dalil aqli dan naqli bahawasanya wajib bagi ALLAH Taala dua puluh sifat yang wajib dan beriktiqad dengan iktiqad yang putus dengan dalil aqli dan naqli bahawasanya mustahil atas ALLAH Taala bersifat segala lawan sifat yang wajib dua puluh itu.
Adalah dikehendaki dengan mengenal Tuhan itu hkndaklah mengetahui tiga perkara iaitu
yang pertama
iktiqad yang putus (tiada syak, zan, waham) , kira nya iktiqad tidak putus seperti ada iktiqad syak, zan atau waham maka tidak dinamakan mengenal.
Yang kedua
muafakat (bersetuju) iktiqad itu dengan yang sebenar (berbetulan iktiqad ini dengan iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah) maka tiada dinamakan mengenal jika iktiqad itu tidak berbetulan dengan yang sebenar, seperti iktiqad orang nasrani dan Yahudi.
Yang ketiga,
dengan ada dalil sekalipun dengan dalil ijmali, sebaliknya jika iktiqad putus serta muafakat dengan sebenar tetapi tidak dengan dalil maka dinamakan taklid.
Adapun iktiqad yang tiada putus atau tiada muafakat dengan yang sebenar maka dengan itfak ulama menghukumkan kafir, dan iktiqad orang yang bertaqlid itu bersalah-salahan ulama padanya, maka mengikut qaul yang muktamad orang yang bertaqlid itu tidak dihukumkan kafir jika taklidnya putus tetapi dihukumkan dia mukmin yang menderhaka jika kuasa ia mengadakan dan mendirikan dalil dengan belajar, kiranya tidak terdaya mendirikan dalil kemudian daripada telah belajar sebab bodohnya maka tiada dihukumkan derhaka.
Adalah makna taqlid itu iaitu menerima perkataan lain dengan tidak mengetahuikan dalil dan keterangan maka taklid itu terbahagi kepada dua bahagian kepercayaan.
Yang pertama taklid jazmi
ertinya kepercayaan itu terlekat ke mata hatinya dengan teguh dan kuat serta tidak berubah atau terbalik semula jika orang yang diikuti itu berbalik sekalipun maka taklid yang seperti ini di sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah sah imannya kerana mempunyai jazam kepercayaan.
Yang kedua taklid yang tiada jazam
ertinya menerima perkataan orang lain dengan tiada teguh dan tiada kuat. Sekiranya orang yang diikuti seperti guru-gurunya, ibu bapanya atau lain-lain berbalik iktiqadnya maka ia pun mengikut berbalik jua maka taklid yang seperti ini dihukumkan tiada sah imannya kerana serupa dengan syak, zan atau waham (yang tiada jazam)
Tegasnya adalah iman orang yang bertaqlid sentiasa di dalam khathar (bahaya) dan kebimbangan dan tergantung kebenarannya atas kebenaran atas orang yang diikuti jika benar perjalanan orang yang diikutnya dan yang dipegangnya seperti guru-gurunya maka, yang mengikut itu benarlah jua. Tetapi jika ada sebaliknya binasalah ia bersama-sama dengan orang yang diikutnya.
Dari itu hendaklah seseorang bersungguh-sungguh menuntut ilmu aqaidul iman yang sahih supaya terlepas daripada syak dan waham di dalam imannya tidak ia pakai ikut-ikut sahaja istimewa zaman sekarang masa zahir beberapa banyak ahli bid’ah.
Maka taklid itu mudarat kerana ialah jalan yang yang telah membawa kepada sesat yang amat hina yang tiada layak sekali-kali dengan ha1 seorang manusia.
Nota:
Artikel ini diambil dari kitab yang terkenal di Malaysia terutamanya di Johor, Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan, serta berkembang luas di Brunei dan Singapura, iaitu kitab RISALAH TAUHID dalam tulisan jawi keluaran Jabatan Agama Negeri Johor
Ilmu usuluddin yang dihuraikan dalam RISALAH TAUHID Metod atau kaedah yang digunakan adalah mengikut metod Syeikh Abul Hassan Al Asyaari. Beliau merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal di awal kurun ketiga Hijrah. Kehebatannya itu melayakkan ia menjadi seorang mujaddid di kurunnya. Ilmu usuluddinnya sangat hebat dan mengkagumkan. Perbahasan-perbahasan yang dibuat oleh Abul Hassan Al Asyaari ini telah memecah tradisi di zamannya dengan menggunakan dalil Al Quran serta diperkuatkan atau diperteguhkan dengan hujah atau dalil akal.
Bahkan metod daripada ulama besar inilah yang diterima sebagai pegangan atau aqidah oleh empat mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu pengikut-pengikut Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafi’i dan Imam Hambali, sejak ribuan tahun yang lampau hinggalah sekarang ini.
Sifat Allah
Tuhan adalah Zat Yang Maha Suci, Maha Agung, Maha Berkuasa
Maha Mengetahui, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Berkehendak
Seluruh sifat-sifat itu boleh berlaku serentak
Tidak seperti makhluk kalau melihat satu perkara, seluruh perkara yang lain tidak dilihatnya
Contohnya seperti sifat Mengetahui
Seluruh yang ada diketahui secara sedar,
yang tidak ada pun diketahui secara sedar
Tidak seperti makhluk, ada yang dia ketahui yang tidak disedari lagi
Apabila diingatkan baru dia sedar kembali
Seperti juga sifat Mendengar-Nya
Tuhan boleh Mendengar serentak seluruh yang ada
Sama ada bersuara atau tiada
Tidak seperti kita manusia
Kalau kita mendengar satu perkara
Sudah pasti perkara yang lain kita tidak mendengarnya
Begitu jugalah bila kita mengatakan Tuhan Maha Suci
Ertinya Maha Suci daripada penyerupaan dan bandingan dengan semua makhluk
Maha Suci daripada persamaan
Dan Maha Suci daripada dapat dikhayalkan dan apa yang dapat difikirkan
Dan Maha Suci daripada dapat dilintaskan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)