IBADAH ITU BERTUJUAN UNTUK MENDIDIK



Ibadah itu sama ada ibadah lahir yang terangkum di dalam syariat, lagilah ibadah batin atau ibadah hati yang terangkum di dalam Tauhid dan Tasawuf, ianya bertujuan untuk mendidik. Ia makanan bagi jiwa. Ia dapat membina dan memberi kekuatan kepada jiwa. Ia boleh menambah taqwa. Supaya ibadah itu dapat mendidik, mesti ada disiplinnya yakni mesti ada ilmunya, difahami, diyakini dan dihayati.

Ilmu itu benda mati. Faham itu bila ilmu dapat mencetuskan rasa. Yakin itu bila pegangan kuat dan tidak goyang dan penghayatan itu ialah apabila hati, roh dan jiwa turut sama dalam beribadah. Ilmunya sudah tentu penting kerana tanpa ilmu, kita tidak akan tahu cara yang sebenar untuk beribadah dan tanpa ilmu, ibadah kita pasti akan tertolak. Tuhan tidak terima ibadah yang dibuat tanpa ilmu.

Faham lebih penting lagi sebab faham itulah hikmahnya. Faham itu ialah ilmu dalam ilmu. Kalau tidak faham, batin atau roh ibadah akan rosak. Yakin perlu supaya hati kita tidak dilanda syak, ragu, zan dan waham yang akan merosakkan ibadah kita.

Kemuncak dari ilmu, faham dan yakin itu adalah penghayatan. Penghayatan itu ialah apabila ilmu, faham dan yakin itu betul-betul menjadi roh kita, otak kita, hati kita dan sikap kita.

Apabila sesuatu ibadah itu sudah dihayati. Maka ibadah itu akan menjadi sumber didikan, sumber kekuatan jiwa dan akan menambah taqwa. Solat contohnya, yang merupakan tiang agama dan ibu bagi segala ibadah adalah satu modul didikan dan latihan jiwa yang lengkap. Segala unsur keinsanan terlibat dalam solat termasuk anggota lahir, lidah, akal dan hati. Kalau solat dapat dibuat dengan khusyuk, tawadhuk dan khuduk dan dapat difahami, dihayati dan dijiwai segala apa yang dibaca dan dilafazkan, maka akan timbul rasa bertuhan dan rasa kehambaan di dalam hati kita. Rasa bertuhan adalah rasa Allah sentiasa melihat, mengawasi dan mengetahui tentang diri kita. Rasa Allah Maha Besar, Maha Agung, Maha Kaya dan sebagainya. Rasa kehambaan pula adalah rasa hina, bersalah dan berdosa di sisi Tuhan. Rasa lemah, dhaif dan bergantung harap kepada Tuhan.

Rasa bertuhan akan menyuburkan sifat-sifat mahmudah dalam hati kita. Rasa kehambaan pula akan memusnahkan dan membakar sifat-sifat keji atau mazmumah dari hati kita. Solat yang sempurna dan lengkap lahir batinnya akan menjadikan kita orang yang kuat keyakinan, kuat iman, baik akhlak, berdisiplin, bersih lahir dari maksiat dan kemungkaran, kuat syariat dan bersih jiwa dari sifat-sifat keji dan tercela.

Begitu juga puasa. Kalau dilaksanakan berserta rohnya dan ada penghayatannya, jiwa kita yang jahat dan tenat dapat dipulihkan. Mazmumah dipulihkan kepada mahmudah. Kegelisahan dipulihkan kepada ketenangan. Fitrah dapat dikembalikan semula kepada keadaan asal semulajadinya yang suci dan tenang. Zakat pula sepatutnya dapat mengungkai sifat-sifat tamak dan bakhil. Zakat, kalau dihayati boleh menyembuhkan penyakit cinta dunia dan mendatangkan rasa belas kasihan dan kasih sayang terhadap fakir miskin.

KENAPA SELAMA INI IBADAH TIDAK MENDIDIK KITA

Sebab pertama
ialah kerana selama ini kita diberi ilmu tentang ibadah hanya yang bersangkut-paut dengan hukum-hakamnya sahaja iaitu tentang syarat, rukun, sah dan batalnya sahaja. Oleh itu dalam ibadah, itulah perkara yang kita jaga sangat-sangat dan tidak lebih dari itu. Ilmu lain tentang ibadah termasuk falsafahnya tidak diajar. Kefahaman tidak diajar. Penghayatan tidak diajar. Hasilnya segala ibadah yang kita buat, kalaupun sah dan cukup syarat rukunnya, tetapi tidak dapat dihayati.

Apabila ibadah tidak dihayati, maka rugilah kita kerana ibadah kita itu tidak mendidik kita. Hati kita tidak berubah walaupun kita sudah beribadah berpuluh-puluh tahun lamanya malahan sepanjang hidup kita. Ibadah kita tidak menjadi makanan bagi jiwa. Ia tidak membentuk dan menguatkan jiwa kita. Ia tidak menambahkan taqwa kita. Lebih malang lagi, ibadah kita itu tidak sampai kepada Tuhan.

Ilmu ibadah yang kita belajar selama ini tidak langsung menyentuh soal roh ibadah atau hikmah dalam ibadah. Sebab itu kita lihat, orang yang banyak ibadah dan banyak sembahyang, ibadah dan sembahyang mereka tidak memberi apa-apa kesan di dalam diri dan hati mereka. Akhlak mereka tidak banyak berubah. Bahkan orang yang banyak ibadah dan sembahyang selalunya menjadi beku, jumud, pasif dan tidak produktif.

Kedua adalah
kerana kebanyakan orang tidak ada ilmu dan tidak faham tentang Tuhan. Oleh sebab itu ibadah mereka tidak memberi kesan. Ibadah termasuk sembahyang bukan untuk mengajar atau memahamkan manusia tentang Tuhan. Manusia sepatutnya sudah ada ilmu dan sudah faham tentang Tuhan sebelum mereka beribadah atau sebelum mereka sembahyang. Ibadah dan sembahyang itu hanya untuk mengingatkan dan menyedarkan manusia tentang Tuhan sebab manusia itu sering lupa.

Ibadah dan sembahyang hanya akan memberi kesan kepada orang yang sudah ada ilmu dan faham tentang Tuhan. Orang yang tidak faham Tuhan, ibadah dan sembahyangnya tidak ada erti apa-apa. Dia tidak akan dapat rasa bertuhan dalam ibadahnya kerana dia tidak tahu dan tidak faham Tuhan. Itu sebab sebelum kita bersyariat, Tauhid kena selesai dahulu. Hadis ada menyebut,

“Awal-awal agama mengenal Allah.”

Followers

Facebook Twitter RSS