Sembahyang Adalah Mikraj Pembakar Mazmumah
Posted by
Quezee
Sunday, July 7, 2013 at 2:18 PM
0
comments
Bismillahir rahmanir rahim
Ada satu pemberian yang maha berharga dari Zat Tuhan kepada setiap hamba yang Islam iaitu sembahyang. Mengerjakannya manusia akan terjauh daripada maksiat, kemungkaran dan kegagalan. Sembahyang adalah kebahagiaan dan kemenangan. Ia bermula dari azan dan diakhiri dengan salam dan doa.
Orang yang tidak sembahyang sebenarnya sedang bermusuh dengan Tuhan.
Di dalamnya manusia diajak bercakap-cakap dengan Maharaja alam yang merupakan tuan punya kepada seluruh isi dunia dan Akhirat. Maha Besar Tuhan kerana sanggup berbual dengan hamba-Nya yang hina dina dalam satu majlis upacara penyembahan yang sangat professional, penuh kemanjaan, pengabdian dan dramatik.
Perbincangan terlalu global menjangkau seluruh dunia dan Akhirat. Fokusnya ialah perhubungan cinta dua hala antara hamba dengan Tuhan yang Maha Menyintai. Sempat juga dalam tempoh lima minit itu memasuki medan perang untuk membakar semua nafsu mazmumah dan syaitan terkutuk yang sangat jahat mahu merosakkan hubungan kasih cinta hamba dan Tuhan. Nafsu mahu dia yang dituhankan, dipuja, dicinta dan diperturutkan.
Namun kekuatan sembahyang dan majlis dengan Tuhan benar-benar dapat menangkisnya bahkan sampai membuahkan satu pemikiran yang agung,perasaan yang agung dan akhlak yang agung hasil sembahyang. Cinta Tuhan membuahkan cinta sesama manusia hingga kita sanggup mendoakan dan menjaminkan keselamatan bagi seluruh isi langit dan bumi dengan Rahmat dan Keberkatan dari Tuhan.
Sembahyang membuatkan seseorang tidak mungkin lagi mengkhianati seseorang yang lain. Tidak mungkin berkrisis dan berperang. Sembahyanglah satu-satunya kursus yang mampu membuatkan manusia menang terhadap nafsunya dan membawa kasih sayang dan pembelaan untuk manusia.
Sembahyang sungguh hebat, agung dan amat menguntungkan. Sebuah perniagaan yang cukup besar. Sebuak projek yang maha menakjubkan dan sejenis aktiviti yang dicipta Tuhan yang akan membangunkan mental, roh dan fizikal bertaraf dunia dan Akhirat hanya dalam masa yang begitu pendek.
Kalaulah kita tahu erti sembahyang seperti yang Tuhan maksudkan kita tidak akan meninggalkan sembahyang buat selamanya. Bahkan tidak jemu pun kerana rindu cinta, bahagia dan berjaya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)