AMALAN TAQWA



Amalan taqwa bukan setakat apa yang terkandung di dalam rukun Islam seperti puasa, zakat, haji dan sembahyang sahaja. Bukan setakat membaca Quran atau berwirid dan berzikir sambil menggentel biji tasbih. Bukan juga bersuluk dan beruzlahmenjauhkan diri dari orang ramai. Amalan taqwa bukan sahaja di surau atau di masjid.

Amalan taqwa adalah apa sahaja amalan dan perbuatan di dalam kehidupan yang berlandaskan syariat sama ada yang fardhu, wajib, sunat atau harus atau apa sahaja amalan dan perbuatan yang dijauhi dan ditinggalkan sama ada yang haram atau makruh yang dibuat berserta rohnya iaitu ada batinnya, penghayatan dan penjiwaannya. Dengan kata-kata yang lain, ada terkait dengan akal, roh dan terhubung dengan Allah, dibuat kerana Allah dan mengikut cara yang Allah mahu.

Ini termasuklah segala perkara yang berlaku dalam kehidupan baik dalam kehidupan seharian, dalam bidang ekonomi, pembangunan, pendidikan, kenegaraan, kebudayaan, pentadbiran, ketenteraan, kesihatan dan sebagainya. Asalkan apa yang dibuat atau ditinggalkan itu berkait dan kerana Allah maka itulah taqwa. Amalan yang tidak berkait dan tidak dibuat kerana Allah, itu adalah amalan bangkai yang tidak ada nyawa, jiwa atau rohnya. Ia tidak sampai kepada Allah dan tidak ada apa-apa nilai di sisi-Nya.

Bercakap boleh jadi taqwa kalau apa yang dicakapkan itu adalah ilmu, nasihat atau perkara-perkara yang baik dan manfaat dan dibuat kerana Allah. Diam juga boleh jadi taqwa kalau diam itu untuk mengelakkan dari berkata-kata perkara yang maksiat dan sia-sia atau supaya tidak menyakiti hati orang dan dibuat kerana takutkan Allah.

Dalam Islam, di samping ibadah lahir, ada banyak ibadah batin atau ibadah yang bersifat rohaniah. Ibadah lahir banyak syarat rukun dan sah batalnya. Tetapi ibadah batin tidak mengira tempat, waktu, masa, suci atau berhadas, haul atau nisabnya.

Ia boleh dilakukan bila-bila masa. Ini termasuklah bertafakur, muhasabah diri, musyahadah, mujahadah, bertaubat, merintih dengan Tuhan, sabar dalam menanggung sakit, ujian, musibah,cacian, kehinaan dan makian orang, menyuburkan rasa-rasabertuhan dan rasa-rasa kehambaan dan berzikir di hati. Ini semua adalah amalan rohani yang boleh menghasilkan taqwa.

Followers

Facebook Twitter RSS