Kehebatan Ilmu Orang Bertaqwa



Ramai orang boleh jadi pandai hasil membaca dan belajar
Berbagai-bagai ilmu dia boleh memperolehinya
hasil membaca dan belajar tanpa jemu-jemunya
Tapi jarang orang yang cerdik dan pintar

Cerdik dan pintar adalah kekuatan IQ semula jadi
serta selalu akalnya dibawa berfikir dan berfikir
dan memproses ilmu yang diperolehinya
Gabungan pandai dan cerdik ia akan jadi genius
Orang yang pintar orang yang luar biasa namanya

Genius ini orang Islam boleh dapat
orang bukan Islam pun boleh memperolehinya
Di atas genius hanya boleh didapati dan diperolehi
oleh orang yang bertaqwa sahaja
Saya pun tidak tahu apakah istilah
yang patut diberikan kepadanya?

Kalau para-para Rasul kerana terlalu pandai
dan cerdiknya dipanggil fathonah
Selain Rasul tidak boleh disifatkan dengan fathonah
kerana ia khususiah bagi mereka
Sementara mencari istilah orang yang bertaqwa
bolehlah disifatkan di atas genius
dan di bawah fathonah

Orang bertaqwa itu gabungan cerdik dan pintar
serta pandai ia ditunjangi oleh rohnya yang bersih
yang diberi ilham oleh Tuhan
Dia dapat ilmu di dalam ilmu,
ilmu yang tersirat diberi faham,
natijahnya dapat ilmu hikmah

Tuhan berkata sesiapa dapat ilmu hikmah
sesungguhnya mendapat ilmu yang banyak
Sesiapa yang bertaqwa dia diajar oleh Tuhannya
Ilmunya ada yang tersurat
ada yang tersirat diperolehinya
Dia direzekikan ilmu yang halus dan seni-seni
Orang lain tidak dapat menerokanya,
dia dapat menyelaminya
Kerana dia dapat ilmu tambahan dari Tuhan
selain ilmu usaha (kasbi) dari titik peluhnya
Orang yang cerdik dan pandai

kalau tidak dipimpin oleh hatinya yang bersih,
selalunya tersalah berfikir
dan tersasar pandangannya
Adakalanya hingga fikirannya tersesat jalan
menuju Tuhannya

Perlu diingat orang yang sibuk membersihkan hatinya
tapi lupa mengasah akal fikirannya
dia jadi beku dan pasif
Orangnya baik, tinggi akhlaknya,
tapi orang tidak rujuk kepadanya,
kecuali sekitar fardhu ain dan hukum-hakam sahaja
Untuk ilmu seluruh kehidupan atau global
dia tidak mampu menjawabnya

Dia selamat tapi tidak dapat menyelamatkan orang lain
Kalau dia ulama, dia hanya ulama yang berwatak nabi
Ilmunya di dalam ilmu, atau ilmu yang tersirat
atau ilmu hikmah sudah lama hilang
di kalangan umat Islam

Followers

Facebook Twitter RSS